PARIT BUNTAR - Empat lelaki disyaki ahli sindiket pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di tepi Jalan Ban, Tanjung Piandang di sini pada Khamis.
Serbuan sekitar jam 10 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hampir 14 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis yang bernilai RM440,550 berjaya dirampas dalam serbuan itu.
"Pemeriksaan dalam kereta itu berjaya menemui dadah jenis ganja seberat 5.46kg yang bernilai RM17,050.
"Serbuan kedua di tepi jalan terbabit berjaya menemukan beg galas yang mengandungi dadah jenis pil WY seberat 6.41kg dan 2.08kg methamphetamine bernilai RM423,500," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek berusia 19 hingga 41 tahun itu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan methamphetamine.
"Kesemua suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan jenayah itu didapati aktif dalam aktiviti mengedar sejak Jun lalu.
"Dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan negeri ini dan jumlah bahan terlarang yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 47,000 penagih," katanya.
Mohd Yusri berkata, keempat-empat suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.