INDAH Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd memenangi kedudukan pertama dan kedua bagi kategori Kecekapan Tenaga dan Amalan Pemuliharaan Terbaik dalam Pengurusan Tenaga Industri Kecil dan Sederhana di Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2023 di Bali, Indonesia pada 25 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendrana Maniam berkata, pengiktirafan itu menunjukkan usaha berterusan syarikat tersebut untuk mencapai kecemerlangan dalam pengurusan tenaga lestari.
"Anugerah ini telah mengiktiraf pencapaian IWK dalam dua projek iaitu Loji Rawatan Kumbahan Serantau Klang-Selatan dan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Butterworth-Selatan (RSTP).
"Usaha IWK dalam memajukan amalan tenaga mampan telah diiktiraf lebih awal di Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023, anjuran setiap tahun oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
"Kami benar-benar berbesar hati kerana usaha syarikat ini diiktiraf di platform yang berprestij seperti AEA 2023 dan NEA 2023," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kedua Brunei, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Halbi Md Yussof.
Tambah Narendrana, pengiktirafan berkenaan juga sekali gus membuktikan dedikasi dan semangat inovatif IWK.
Ujarnya, anugerah itu memberi inspirasi kepada mereka untuk mengekalkan komitmen dan berinovasi dalam kelestarian tenaga.
"Selain menggalakkan penggunaan pendekatan yang lebih bertanggungjawab dan mementingkan alam sekitar," ujarnya.