SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Luar digesa supaya memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk mendapatkan penjelasan berhubung tuntutan negara berkenaan di Laut China Selatan, seperti digariskan dalam Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim Malaysia.
Naib Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Datuk Alexander Lo Su Hyen berkata, tindakan yang diambil dengan menghantar Nota Bantahan Diplomatik kepada China sahaja tidak mencukupi.
Menurutnya, langkah tersebut jelas tidak dapat menghentikan provokasi yang terus berlaku dalam perairan negara terutama kawasan zon ekonomi eksklusif (EEZ) di Sabah dan Sarawak.
"Ini bukan kali pertama China membuat provokasi di kawasan maritim Malaysia.
"Pada 2021, negara berkenaan menceroboh dengan menghantar 16 pesawat milik tentera di ruang udara Malaysia berdekatan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Isnin lalu, Kementerian Sumber Asli China mengeluarkan Peta Standard China Edisi 2023 meliputi EEZ Malaysia berhampiran Sabah, Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam selain beberapa kawasan di India
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan akan mengambil tindakan dengan menghantar Nota Bantahan Diplomatik kepada negara tersebut bagi menangani isu berkenaan.
Tambah Alexander, tindakan lebih tegas perlu dilakukan oleh kerajaan dengan kadar segera untuk menghentikan provokasi negara China.
"Gerakan memandang serius terhadap sebarang isu mengenai kedaulatan negara,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tuntutan China dalam peta tidak jejaskan Sarawak - Abang Johari