Suruhanjaya Eropah luluskan vaksin Covid-19 versi terkini

Iklan
BioNTech yang berpangkalan di Jerman mendapat perhatian kerana membangunkan vaksin melawan Covid-19 berdasarkan teknologi mRNA. - Foto Bernama

BRUSSELS - Suruhanjaya Eropah berkata, suruhanjaya itu sudah meluluskan versi terkini vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh BioNTech-Pfizer, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Vaksin Comirnaty XBB.1.5 telah diubah buat kali ketiga untuk bertindak balas terhadap varian baharu Covid-19 dan dibenarkan untuk kegunaan orang dewasa, kanak-kanak dan bayi berusia 6 bulan ke atas, kata suruhanjaya itu dalam kenyataan akhbar pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Saya mengalu-alukan kelulusan yang tepat pada masanya itu yang akan menyasarkan varian yang baharu muncul dan yang mudah merebak," kata Pesuruhjaya Kesihatan EU Stella Kyriakides.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) berkata, dalam kemas kini terbarunya bahawa kes Covid-19 di EU semakin meningkat, tetapi kadar jangkitan kekal pada tahap yang rendah.

Iklan

"Covid-19 akan beredar seiring dengan influenza bermusim semasa musim luruh dan musim sejuk yang akan datang dan kita perlu bersedia," kata Kyriakides.

Suruhanjaya itu berkata, kelulusan berkenaan membolehkan negara EU membuat persediaan yang lebih baik bagi kempen vaksinasi yang akan datang.

Iklan

BioNTech yang berpangkalan di Jerman mendapat perhatian kerana membangunkan vaksin melawan Covid-19 berdasarkan teknologi mRNA.

Sepanjang 2021, BioNTech dan rakan kongsi Pfizer membekalkan lebih 2.6 bilion dos vaksin dan angka itu menurun kepada sekitar dua bilion tahun lepas. - Bernama-dpa