JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi membantu siasatan selepas rakaman video berdurasi 44 saat memaparkan seorang individu mengasari kanak-kanak di sebuah taska tular di akaun media sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, wanita berkenaan ditahan di sebuah rumah di kawasan Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang di sini pada Selasa lalu.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, penahanan dibuat susulan laporan polis daripada ibu kanak-kanak tersebut yang berusia 28 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah kanak-kanak lelaki tempatan berumur lingkungan setahun dan kejadian berlaku pada 25 Ogos 2023 sekitar 3.50 petang di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di kawasan Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang.
"Bertindak atas maklumat, pada 29 Ogos sekitar 2.15 petang, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Seri Alam telah menahan suspek di sebuah rumah di kawasan Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang,” katanya.
Mohd Sohaimi berkata, suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari mulai 30 Ogos hingga 4 September.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.