JERTIH - [DIKEMAS KINI] Tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an dilaporkan hilang ketika mendaki bukit di hutan Gunung Tebu, di sini pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian oleh ibu salah seorang mangsa kira-kira jam 12.50 tengah hari.
"Wanita yang mengaku sebagai ibu kepada Muhammad Asroy Mohd Aluwi memberitahu anaknya ke lokasi itu bersama dua lagi rakan.
"Kesemua mangsa dari Kuala Terengganu dikatakan ke situ untuk melakukan aktiviti memanjat Gunung Tebu pada Khamis lalu (31 Ogos)," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Azrol berkata, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) jam 3.30 petang pada Jumaat sebaik menerima maklumat.
Menurutnya, operasi berkenaan disertai lebih 30 anggota keselamatan pelbagai agensi terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba, dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk setempat (malim gunung).
"Operasi dihentikan pada jam 6 petang (Jumaat) kerana cuaca hujan serta gelap dan akan disambung semula pada jam 8 pagi esok (Sabtu)," ujarnya.
Sementara itu, katanya, kawasan Hutan Lipur Lata Belatan yang terletak di kawasan itu juga ditutup sementara bermula Sabtu bagi melancarkan operasi SAR.