Kembara Kenali Borneo momen bersejarah rakyat Sabah

Iklan
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke negeri ini akan menjadi momen bersejarah buat rakyat Sabah.

KOTA KINABALU - Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke negeri ini akan menjadi momen bersejarah buat rakyat Sabah, sekali gus memberi peluang keemasan bertemu sendiri dengan pasangan diraja itu.

Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak pada program yang bermula 3 hingga 13 September ini.

Iklan
Iklan

Presiden Persatuan Suku Kaum Banjar Tawau, Badrianshah Mohd Hamdi berkata, beliau terharu dengan kesudian Al-Sultan Abdullah yang bertitah sebelum ini mahu memandu sendiri menyusuri Lebuhraya Pan Borneo.

"Seri Paduka amat memahami kepentingan Lebuhraya Pan Borneo untuk rakyat di Sabah dan Sarawak yang mana ini penting kerana lebuh raya itu boleh menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi sesuatu kawasan terutama di pedalaman,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Badrianshah, 67, berkata, Kembara Kenali Borneo juga membolehkan Seri Paduka berdua melihat sendiri perkembangan pembinaan lebuh raya itu di Sabah yang mana Fasa 1 projek itu melibatkan 15 pakej, kini pada tahap 82 peratus dan dijangka siap Januari tahun depan.

Kembara tersebut akan bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Kuching, Sarawak melibatkan jarak perjalanan lebih 2,100 kilometer dengan melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Iklan

Ketua Kampung Lokub, Kiulu, Unus Limun berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan menjadi tumpuan rakyat di negeri ini yang tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar bersama pasangan diraja itu.

Selain itu, Unus, 59, berkata, keberangkatan Seri Paduka berdua ke Sabah akan membantu mempromosi negeri ini apabila gambar, video serta berita Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disiarkan media serta menjadi tatapan seluruh dunia, sekali gus mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk di Sabah.

"Sektor pelancongan merupakan antara yang kita boleh nampak dapat manfaat menerusi keberangkatan Seri Paduka berdua apabila pelancong tempatan dan asing melihat sendiri di media Seri Paduka berdua melawat tempat menarik, mencuba makanan tradisi dan melihat keindahan semula jadi Sabah ini,” katanya.

Pembuat kraf manik Elaine Rupyin, 49, juga berharap pada lawatan Tunku Azizah di pusat kraftangan akan mampu meningkatkan minat orang ramai terhadap kraftangan Sabah seperti seni manik daripada etnik Rungus.

"Di media sosial sendiri kita tengok ramai anak muda kita tertarik dengan gaya dibawa Tunku Azizah yang mengenakan sendiri produk kraftangan tempatan seperti Tenun Pahang Diraja, saya amat berharap Raja Permaisuri Agong dapat mengenakan kraf kita seperti Manik Pinakol (selempang dan rantai manik),” katanya.

Beliau yang berasal dari Kampung Mangkapon, Pitas juga merancang untuk bertemu sendiri Seri Paduka berdua yang dijadual berangkat ke Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Penampang pada 7 September ini, antara lain untuk meninjau rumah tradisi serta melihat kraftangan rakyat Sabah.

Ketua Daerah Kecil Kiulu, Tuaran, Kumin Gabpai, 72, berkata, Kembara Kenali Borneo juga membolehkan Al-Sultan Abdullah melihat pembangunan di Sabah selain beramah mesra dengan penduduk di sini.

Malim Gunung, Nazrul Rizam Abidin, 39, turut teruja apabila Seri Paduka berdua dijadual meninjau sistem tradisional Tagal di Sungai Moroli, Ranau, susulan sistem itu merupakan model penting dalam menjaga alam sekitar dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, Tagal merupakan sistem tradisi melibatkan penduduk kampung menjaga ikan air tawar di sungai dengan tidak mengambilnya dan penduduk turut memantau kualiti air di sungai.

Sesiapa didapati melanggar peraturan itu akan dikenakan tindakan oleh penduduk kampung, katanya.

"Diharap dengan keberangkatan Seri Paduka berdua model sistem Tagal ini dapat dikembangkan dan diberi perhatian lebih, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh negara,” kata anak jati Mesilau, Ranau itu. - Bernama