KOPERASI Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menjadi antara penyumbang terbesar kepada perolehan koperasi negara bernilai RM46.5 bilion tahun lalu.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, sumbangan KPF dari segi dagangan dan perniagaan merekodkan lebih RM1 bilion.
Menurutnya, kedudukan itu membuktikan peranan dimainkan KPF adalah penting kepada pendapatan negara sekaligus membantu koperasi menjadi penyumbang ketiga terbesar ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta.
"Sebahagian besar koperasi yang menduduki senarai 100 koperasi terbaik juga datangnya daripada Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) selain Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) dan Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah).
"Maknanya koperasi di bawah agensi Felda ini di bawah kawalan dan mendapat sokongan, jadi kita harap ada peruntukan lebih besar dapat disalurkan agensi kepada koperasi-koperasi ini supaya mereka dapat mengembangkan lagi perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Karnival Usahawan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Trolak di Felda Trolak Utara dekat Sungkai pada Jumaat.
Hadir sama, Presiden KAF, Fakhrul Razi Husin dan Pengerusi Angkasa Perak, Mohd Rosli Basri.
Abdul Fattah turut menyarankan agar koperasi-koperasi generasi kedua dan ketiga Felda lebih aktif untuk memperkasakan lagi peranan dan sumbangan gerakan itu.
Katanya, antara langkah boleh dimainkan adalah dengan menceburi bidang perniagaan baharu dan menambah nilai pelaburan supaya kedudukan koperasi lebih kukuh.
"Perkara ini boleh dilaksanakan kerana generasi kedua dan ketiga Felda ini merupakan kumpulan dari segi pendapatannya bukanlah golongan B40, tetapi mereka M40, sudah tentu boleh memainkan peranan lebih besar," katanya.
Karnival Usahawan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Trolak diadakan selama tiga hari sehingga Ahad ini dengan menyediakan hampir 100 tapak pempamer daripada agensi kerajaan, peniaga dan usahawan koperasi dari seluruh Wilayah Trolak.