KELAB Arab Saudi, Al-Ittihad bersedia untuk menaikkan tawaran sehingga £200 juta (RM1.17 bilion) dalam usaha mereka untuk mendapatkan Mohamed Salah dari Liverpool.
Kelab Anfield itu telah menolak tawaran sebanyak £150 juta (RM885.8 juta) tetapi ia tidak menghalang kelab liga Pro Saudi itu cuba memburu khidmat Salah sehingga jendela perpindahan ditutup pada 7 September.
Rundingan membabitkan kedua-dua pasukan telah berlangsung selama berbulan-bulan tetapi semakin rancak beberapa hari kebelakangan ini.
Pengarah Liverpool, Mike Gordon menolak tawaran awal pada Jumaat dan hari ini mereka telah mengulangi pendirian bahawa pemain berusia 31 tahun itu bukan untuk dijual.
Salah yang meledak 30 gol dalam semua pertandingan untuk Liverpool musim lalu telah menandatangani kontrak baharu tiga tahun pada musim panas lalu, yang menjadikannya pemain dengan bayaran tertinggi dalam sejarah Liverpool.
Pengurusan Liverpool juga telah memantau pemain yang setaraf Salah di pasaran, namun gagal mencari pengganti yang sesuai dengan masa yang terhad.
Salah satu kebimbangan besar Liverpool ialah jendela perpindahan Eropah ditutup pada 1 September manakala pasaran Saudi kekal dibuka sehingga 7 September.
Ia membuka peluang kepada kelab Saudi itu untuk menyambar Salah dengan Al-Ittihad bersedia untuk meneruskan tawaran sehingga jendela perpindahan mereka ditutup.