MANCHESTER United berjaya mendapatkan pemain tengah Maghribi, Sofyan Amrabat secara pinjaman manakala penjaga gol Turki Altay Bayindir dan pertahanan kiri Sergio Reguilon turut tiba di Old Trafford pada Jumaat.
Amrabat yang menyerlah ketika membantu Maghribi ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu, menyertai United dari Fiorentina dengan bayaran pinjaman €10 juta (RM50 juta).
United kemudian mempunyai pilihan untuk membeli pemain berusia 27 tahun itu pada harga €25 juta (RM125.45 juta) tahun depan.
"Saya terpaksa bersabar buat masa ini tetapi saya seorang yang sentiasa mendengar kata hati dan kini mewakili kelab impian saya.
"Saya seorang pemain yang bersemangat. Saya mahu membawa tenaga itu kepada skuad dan akan meletakkan segala-galanya dalam setiap tindakan yang dilakukan untuk pasukan,” kata Amrabat.
Sebelum ini, Ambrabat pernah bermain di bawah kendalian bos United, Erik ten Hag di Utrecht dan kehadirannya mampu menyuntik lebih banyak aspek serangan di bahagian tengah Red Devils.
"Pendekatannya yang komited terhadap permainan sangat sesuai dengan kumpulan yang kami bina di sini.
"Kami tahu mentaliti, dinamik dan kualiti teknikal Sofyan akan membantu skuad ketika kami ingin mencapai kejayaan dalam semua pertandingan musim ini," kata pengarah bola sepak United, John Murtough.
Dalam pada itu, Bayindir berpindah ke Old Trafford pada harga £4 juta (RM23.4 juta) dari Fenerbahce sebagai sokongan untuk penjaga gol utama, Andre Onana.
Ketibaan Reguilon dari Tottenham Hotpsur pula bagi mengisi kekosongan di bek kiri selepas Luke Shaw dan Tyrel Malacia cedera.
Greenwood dipinjamkan ke Getafe
Dalam pada itu, pasukan La Liga, Getafe menandatangani penyerang Mason Greenwood dari Manchester United secara pinjaman, umum kelab itu pada Sabtu.
Greenwood digantung sejak Januari 2022 oleh pihak Liga Perdana atas dakwaan serangan seksual, tetapi pihak pendakwa raya menggugurkan tuduhan tersebut pada Februari.
"Getafe telah mencapai perjanjian dengan Manchester United untuk mendapatkan Mason Greenwood secara pinjaman selama semusim," kata Getafe dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Minggu lalu, United dan Greenwood saling bersetuju penyerang itu akan meninggalkan Old Trafford.
"Langkah itu membolehkan Greenwood mula membina semula kariernya.
"Kelab ini akan terus menawarkan sokongannya kepada Mason dan keluarganya dalam tempoh ini,” kata Red Devils dalam satu kenyataan.
Greenwood telah menjaringkan 35 gol dalam 129 penampilan senior untuk United sebelum digantung akibat dakwaan serangan seksual itu.