Lima lelaki dikhuatiri hilang di Gunung Tebu ditemukan selamat

Iklan
Mangsa yang dikhuatiri hilang berpelukan bersama keluarga ketika dijumpai selamat selepas melakukan aktiviti mendaki Gunung Tebu sejak 31 Ogos lalu. - Foto JBPM

BESUT - Lima lelaki yang dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Tebu, Jabi di sini ditemukan selamat pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, kesemua mangsa ditemukan pada jam 9.15 pagi tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditamatkan jam 9.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Jumlah mangsa yang hilang adalah seramai lima orang dan hasil siasatan mendapati mangsa telah tersalah laluan ketika mendaki gunung berkenaan.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Embong berkata, dua anaknya iaitu Mohd Huzaimi Mohamad, 38, dan Mohamad Huzaifah, 33, serta tiga lagi rakan mereka dari Bukit Tunggal, Kuala Nerus terkandas di hutan itu sejak Khamis lalu.

Menurutnya, berdasarkan perancangan asal, anaknya bersama rakan tidak mahu bermalam di hutan kerana mahu terus turun dari gunung pada petang 31 Ogos.

Iklan

Namun katanya, kumpulan pendaki itu tersalah jalan ketika menuruni gunung disebabkan pokok tumbang yang menghalang trek laluan asal mereka.

"Mereka cuba cari jalan lain untuk turun tetapi tak jumpa dan membuat keputusan tidak berpecah serta terus berada situ kerana salah seorang rakan terseliuh.

"Dua anak saya berani ikut kumpulan itu sebab salah seorang daripada mereka pernah beberapa kali mendaki gunung itu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Mohamad Embong memberitahu, laporan awal dibuat hanya melibatkan tiga mangsa kerana hanya dua penjaga yang membuat laporan polis.

"Saya dan salah seorang ibu mangsa sahaja yang buat laporan sebab tiada laporan polis dibuat terhadap mangsa yang lain.

"Saya bersyukur sangat sebab mereka berjaya berjalan keluar dari kawasan hutan ketika SAR dijalankan.

"Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat, pihak keselamatan, orang kampung dan malim hutan yang turut sama membantu mencari mangsa sejak petang semalam (Jumaat)," katanya.

Sementara itu, Zaharah Omar, 56, yang merupakan ibu kepada Muhammad Azroy Mohd Aluwi, 23, berkata, pada awalnya anaknya memaklumkan mahu pergi ke Besut pada pagi Khamis.

"Semalam dia hantar mesej memberitahu mereka sesat serta meminta untuk mendapatkan bantuan daripada anggota keselamatan.

"Syukur mereka semua dapat keluar dari hutan dengan selamat," katanya.