KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan kunci air terhadap penghuni Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang culas membayar sewa.
DBKL memaklumkan, Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) melaksanakan penguatkuasaan Operasi Kunci Air (OKA) di PPR Perkasa serta Seri Alam dan tindakan sama akan diperluaskan ke kawasan lain.
Menurutnya, pelbagai usaha telah dibuat bagi memberi ruang kepada penyewa untuk menjelaskan bayaran sewa tertunggak termasuk hebahan serta notis selain sesi bersemuka dan pembukaan kaunter bergerak yang dilaksanakan.
"Ia bertujuan bagi memudahkan penyewa berunding untuk menstrukturkan bayaran bagi menjelaskan tunggakan.
Pembukaan kaunter bergerak pula adalah bagi memudahkan urusan pembayaran terutama penghuni yang mempunyai sewa tertunggak.
"Setelah segala usaha dibuat, tindakan kunci air dikenakan ke atas penyewa-penyewa yang masih berdegil untuk tampil berunding bagi menyelesaikan tunggakan walaupun pelbagai peringatan dan peluang diberikan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Katanya, DBKL memandang serius isu itu dan akan memperluaskan OKA di semua kawasan PA dan PPR bagi mengesan penyewa yang culas membayar sewa.
"Kepada penyewa-penyewa yang ada tunggakan bayaran sewa dan belum dikenakan tindakan, selesaikan segera bayaran tertunggak tersebut.
"Ramai di luar sana yang menanti bertahun-tahun tapi masih tidak berpeluang untuk mendiami rumah PA dan PPR yang diuruskan oleh DBKL.
Anda yang dah dapat, culas pula membayar sewa.
"Jelaskan tunggakan sebelum tindakan kunci air dikenakan yang pasti akan menimbulkan kesulitan nanti," katanya.