SEGAMAT - Sebelum ini tengok dalam berita, orang meninggal satu keluarga, tapi semalam (Jumaat), kena kat batang hidung saya,"
Itu reaksi Norhayati Noor Muhamad, 51, kakak kepada Norahimah Noor Muhamad, 43, salah seorang mangsa kemalangan melibatkan enam sekeluarga di Kilometer (KM) 5, Jalan Segamat-Kuantan, di sini pada Jumaat.
Mengakui masih terkejut dengan kejadian tersebut Norhayati Noor Muhamad, 51, berkata, jika sebelum ini dia selalu tengok dan dengar kemalangan melibatkan satu keluarga dalam berita namun semalam (Jumaat), ia benar-benar berlaku ke atas adiknya sendiri, Norahimah, 43, serta adik ipar (suami Norahimah), dan empat daripada enam anak pasangan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas 5 kenderaan: 6 sekeluarga disahkan maut
Lima sekeluarga maut, tiga cedera nahas tiga kenderaan
"Memang masih terkejut dan tidak sangka kemalangan ini melibatkan keluarga adik saya, dia anak ketiga, saya anak kedua, kami empat beradik.
"Ia memang satu sejarah dalam keluarga kami... tapi kami reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Segamat di sini, pada Sabtu.
Tambah Norhayati, kali terakhir dia bertemu dengan keluarga adiknya itu pada adalah pada majlis perkahwinan adik bongsu, Norahila, 36, di rumah ibu mereka di Parit Jawa, Muar dekat sini, Ahad minggu lalu.
Katanya, ketika kenduri tersebut, Norahimah sempat bergurau mahu mengambil gambar sebagai kenang-kenangan sebelum salah seorang daripada adik-beradik mereka pergi dijemput Ilahi, suatu hari nanti.
"Saya dengan dia (Norahimah tidak rapat sangat, dia rapat dengan adik bongsu (Noorahila), semasa kenduri hari itu, arwah minta bergambar beramai-ramai, dia cakap mana tahu salah seorang daripada kita pergi dahulu boleh buat kenang-kenangan.
"Rupanya semalam, memang betul dia sekeluarga pergi buat selama-lamanya, kali ini dan saya menerima berita tu kira-kira pukul 7.30 malam bila dapat WhatApps daripada orang awam yang ada di tempat kejadian.
"Orang tu kalau nak tahu apa-apa boleh hubungi Balai Polis Segamat, tetapi saya terus ‘call’ dia dan dapat sahkan memang itu keluarga adik saya,” katanya.
Sementara itu, Norhayati berkata, Norahimah merupakan seorang adik yang ceria dan periang serta ibu yang tegas.
Bagaimanapun katanya, tidak ada apa-apa tanda yang pelik berlaku sebelum adiknya itu terlibat dalam kemalangan berkenaan dan meninggal dunia.
"Dia seorang yang ‘happy go lucky’, nak kata garang tidak cuma dia seorang ibu yang tegas,” katanya.