PUTRAJAYA - Pengilang padi dan pemborong beras diminta untuk meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan, sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan itu di pasaran.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, hasrat tersebut telah dipersetujui pengilang padi dan pemborong beras dalam satu sesi libat urus pada 27 Ogos lepas, di Alor Setar, Kedah.
"Melalui Program Khas BPT ini, pihak Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan memberikan kuota tambahan tersebut kepada pemborong-pemborong Bumiputera untuk menambah bekalan BPT negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPKM, harga BPT masih kekal pada harga kawalan iaitu RM2.60 sekilogram sejak 2008 dan ia merupakan harga terendah di rantau ini.
Ia diikuti Thailand yang menjual komoditi itu pada harga RM2.70 sekilogram dan Kemboja RM3.20 sekilogram.
Menurut KPKM, Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM bersama pemain industri dan pihak berkepentingan di bawah subsektor padi akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada 7 September ini.
Sesi tersebut bertujuan mendapatkan input dan pandangan daripada pemain industri mengenai kaedah meningkatkan pengeluaran BPT.
Dari segi pemantauan terhadap komoditi itu, KPKM memaklumkan ia dijalankan secara berterusan menerusi Operasi Jamin (Op Jamin) yang diperkenalkan pada 1 Julai lepas, dengan kerjasama Kawalselia Padi dan Beras serta Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Kementerian itu turut melancarkan Operasi Beras Putih (Op BPT) pada 16 Ogos lepas yang menumpukan pada pemeriksaan dan penguatkuasaan di peringkat pengilang padi dan pemborong beras di seluruh negara.
Menurut KPKM, sebarang kesalahan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), boleh menyebabkan lesen pihak terbabit dibatal atau digantung menerusi kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras. - Bernama