'Tak sangka mampu lakukan aksi lompatan depan puluhan ribu penonton'

Iklan
Saidatul ketika melakukan aksi lompatan merentasi 66 buah motosikal Royal Enfield pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, Putrajaya, Khamis lalu.

SHAH ALAM -"Saya sendiri tak sangka mampu lakukan aksi tersebut di hadapan puluhan ribu penonton."

Demikian reaksi Staf Sarjan Saidatul Husna Kamarudin, 35, ketika menceritakan aksi lompatan merentasi 66 buah motosikal Royal Enfield pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, Putrajaya, Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Mengakui pada awalnya agak gugup memandangkan keadaan dataran ketika itu dipenuhi orang ramai, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dirinya bersama rakan pasukan nekad untuk melakukan aksi terbaik ketika itu.

"Perasaan saya ketika itu agak gemuruh memandangkan ramai penonton, itu bagi saya salah satu cabaran, bagaimanapun saya nekad, mahu atau tidak perlu tempuhinya.

Iklan

"Berbekalkan doa dan semangat, saya kuatkan hati dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada ALLAH agar tugasan untuk melakukan aksi tersebut berjalan lancar.

Saidatul (kiri) bersama rakan pasukan ketika sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, Putrajaya, Khamis lalu.

Alhamdulillah saya berjaya lakukannya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Jelasnya, lebih mengujakan aksi lompatan tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta pimpinan negara.

"Ia merupakan detik bersejarah apabila buat pertama kali sepanjang 13 tahun penglibatan saya dalam pasukan akrobatik ini berpeluang membuat persembahan di hadapan pasangan diraja ini.

"Lebih bermakna, tarikh keramat ini turut merupakan hari kelahiran saya, ia sesuatu yang tidak akan dilupakan selagi hayat dikandung badan," katanya.

Antara kejayaan yang diperoleh Saidatul sebelum ini.

Menceritakan mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang melakukan aksi, jelas anggota tentera Kor Polis Tentera Diraja, Kem Genting Klang, Setapak itu berkata, dirinya sebelum ini hampir putus harapan akibat kecederaan dihadapinya ketika menjalani sesi latihan.

"Ketika itu saya mengalami kecederaan pada bahagian lutut dan terpaksa membuat pembedahan kecil, atas nasihat doktor saya diminat berehat buat seketika.

"Semangat saya ketika itu hampir saja jatuh, namun atas sokongan dari keluarga dan rakan-rakan, saya nekad untuk bangun semula dan berazam untuk mencipta kejayaan," katanya.

Jelasnya, antara kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan adalah berjaya menempa nama untuk Malaysia Books of Record (MBOR) sekitar Mac lalu.

"Antara kejayaan bagi saya adalah pernah mencatatkan rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) ketika persembahan TATU Tentera Darat (TDM) bersempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Itu antara kenangan terindah yang saya lakarkan dan nekad untuk melakukan yang terbaik di kemudian hari nanti," kata anak kelahiran Sungai Petani ini.

Latihan dan stamina yang cukup antara kekuatan yang diperlukan untuk melakukan aksi lompatan.

Bagi Saidatul Husna, apa yang menjadi kekuatan dirinya setiap kali melakukan persembahan adalah memohon kekuatan daripada ALLAH agar dipermudahkan segala urusan.

"Petua yang sering saya amalkan adalah dengan membaca doa naik kenderaan sepanjang beraksi, dari situlah saya peroleh kekuatan.

"Selain itu, saya dan rakan sepasukan juga akan memberikan semangat antara satu sama lain dan dalam masa sama berserah kepada ALLAH agar setiap aksi dilakukan dipermudah," katanya.

Berkecimpung selama 15 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia, bagi dirinya, segalanya tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya mempunyai tekad yang kuat selain sokongan daripada keluarga dan rakan.

"Apa yang saya lakukan ini jelas membuktikan wanita juga tidak mustahil untuk melakukan pelbagai aksi sebagaimana lelaki, ini yang mahu saya buktikan kepada semua wanita di luar sana.

Suami serta anak antara sumber kekuatan Saidatul dalam menempa kejayaan.

"Selain itu, doa serta sokongan suami, bapa dan adik-beradik adalah sumber kekuatan saya.

Tanpa mereka siapalah saya pada hari ini," katanya.