Semangat Perpaduan rapatkan jurang defisit sosial - Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri

SHAH ALAM - Semangat memupuk perpaduan di negara ini perlu diubah bagi merapatkan semula jurang defisit sosial bagi memastikan hasrat berkenaan boleh dicapai.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas 66 tahun merdeka tahap perpaduan masih ditakuk lama dan timbul perasaan syak wasangka di antara satu sama lain.

Iklan
Iklan

"Kesepaduan sosial bukan hanya pada makanan atau pakaian, tetapi cara pemikiran untuk memahami secara mendalam kepelbagaian yang wujud di negara ini bagi mencari titik persamaan.

"Defisit sosial sukar untuk dielakkan di negara ini namun jurang perbezaan persepsi dan pendapat dalam kalangan kelompok yang berbeza ini harus dirapatkan melalui usaha berterusan di setiap lapisan masyarakat,” katanya pada Sabtu.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia berkata, pola pemikiran atau persepsi tersebut perlu bermula dari rumah.

Ujarnya, keluarga perlu memainkan peranan manakala pemimpin pula hanya menjadi pemangkin untuk mengubah paradigma itu.

Iklan

"Kerajaan dan pemimpin hanyalah pemangkin untuk mengubah paradigma tetapi keluarga yang perlu memainkan peranan utama bagi menghakis rasa syak wasangka terhadap ras, kepercayaan dan perbezaan warna kulit," katanya.

Ismail Sabri berkata, rakyat negara ini perlu hidup dalam sebuah keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia yang saling lengkap melengkapi bukannya terpisah atas kepentingan peribadi dan politik.

Menurutnya, enam nilai teras dalam dasar Malaysia Madani menitikberatkan soal perpaduan khususnya nilai kedua, keempat dan keenam iaitu Kesejahteraan, Hormat dan Ihsan.

"Saya percaya kerajaan hari ini turut menyedari hakikat itu.

"Konsep yang baik ini tidak memberikan sebarang makna sekiranya ada individu yang tindak dan tanduk serta ucapan mereka membentuk pemikiran rakyat masih dikongkong dengan pemikiran sempit," katanya.