KOTA BHARU - Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) di sini tidak melepaskan peluang membeli beras import dan barangan harian pada Jualan Rahmah Kasih Sayang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan pada Sabtu.
Beberapa penduduk yang ditemui di Dewan PPR itu berkata, peluang berkenaan diambil selepas mendengar kenaikan harga harga beras import.
Bagaimanapun, masih ada yang tidak tahu mengenai pengumuman itu dan membeli kerana mengambil peluang berikutan harga murah berbanding pasaran.
Seorang penduduk, Nadiatasya Sasaniddin, 35, berkata, harga asal beras 10 kilogram (kg) ialah RM32 tetapi dijual pada harga RM24.
"Memang berbaloi kerana saya membeli untuk sepuluh ahli keluarga termasuk ibu yang tinggal bersama," katanya kepada Sinar Harian.
Nadiatasya memberitahu, biasanya 10kg beras akan habis dalam tempoh seminggu dan dia membeli dua beg beras sempena program berkenaan.
Ibu kepada dua anak itu turut membeli barangan kegunaan rumah termasuk susu, minyak dan sabun.
"Saya memang akan pergi ke lokasi jualan Rahmah kerana harga yang ditawarkan membolehkan kami sekeluarga berjimat," katanya.
Pada Jumaat, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melalui kenyataan memaklumkan harga jualan beras import diselaraskan daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuat kuasa hari sama.
Melalui kenyataan berkenaan, Bernas memberitahu, pelarasan itu sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Kenyataan itu turut menyebut, separuh tahun pertama 2023 merupakan tempoh yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran.
Ia termasuk perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.
Suri rumah, Nurul Aini Mat Amin, 36, memberitahu ada mendengar kenaikan harga beras import tetapi tidak mampu membeli dalam kualiti banyak.
Nurul Aini juga mengakui tidak memilih jenama dan membeli seadanya mengikut kemampuan.
"Saya ada mendengar harga beras import naik tetapi tetap membeli mengikut keperluan dengan kos yang termampu sahaja," katanya.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, beras seberat 10kg yang dibeli biasanya habis dalam tempoh tiga minggu.
Bagi kerani di sebuah syarikat swasta, Wan Rosmawati Wan Said, 39, beras yang dijual ketika jualan Rahmah juga berkualiti dan murah.
Katanya, jualan itu juga merupakan peluang untuk orang ramai mengurangkan perbelanjaan kerana mungkin ada keperluan lain yang lebih penting.
"Saya tidak melepaskan peluang untuk pergi membeli jika ada jualan Rahmah sekitar bandar ini kerana ada yang lebih murah berbanding pasar raya dan boleh berjimat," katanya.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Dr Hafidzah Mustakim berkata, jualan Rahmah yang diilhamkan oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Allahyarhan Datuk Seri Salahuddin Ayub dapat membantu golongan berpendapatan rendah.
"Inilah masanya memanfaatkan jualan Rahmah yang memang berbaloi dengan perbelanjaan golongan memerlukan," katanya.