Harga beras putih import naik 36 peratus

Iklan
Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa pada Jumaat.

Padiberas Nasional Bhd (Bernas) berkata, harga baharu itu meningkat sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelarasan itu adalah selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan.

"Bernas berdepan separuh tahun pertama yang mencabar berikutan faktor tidak dapat diramalkan seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing semakin lemah, kos operasi tinggi dan konflik serantau.

Iklan

"Faktor-faktor ini secara kolektif meninggalkan kesan ketara dalam pasaran dagangan beras global dan kemudiannya ditambah lagi dengan larangan eksport beras putih yang diumumkan oleh India.

"Bagaimanapun, disebabkan keadaan semasa yang tidak menentu dan selepas mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Bernas ditubuhkan pada 1994 setelah mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang dikorporatkan sebagai penjaga tunggal padi dan beras Malaysia.

Selama lebih tiga dekad, Bernas menjadi pemain utama dalam industri padi dan beras negara selain diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan serta keterjaminan makanan.

Tambah Bernas, ia turut menanggung kesan kenaikan harga beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami sedang bekerjasama dengan kerajaan dan rakan dagang antarabangsa untuk memastikan bekalan beras yang stabil untuk negara.

"Bernas turut memberi jaminan bekalan beras akan kekal stabil untuk Malaysia kerana keselamatan makanan dan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaannya,” ujarnya.