PRK: Pimpinan tertinggi parti mula 'singsing lengan', bantu kempen

Iklan
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Memasuki fasa kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, menyaksikan pimpinan tertinggi parti mula ‘menyingsing lengan’ bagi membantu calon berkempen menerusi ceramah mega yang dijadualkan, menyulami kempen berskala kecil yang banyak dipraktikkan sebelum ini.

Berdasarkan jadual dan poster yang dikongsikan parti-parti utama bertanding, sama ada gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mahu pun Perikatan Nasional (PN), masing-masing dilihat memanfaatkan waktu hujung minggu ini dengan berkempen bagi meraih hati pengundi.

Iklan
Iklan

Di pihak PH-BN misalnya, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan Ceramah Mega Perpaduan Madani di Johor Bahru dan Muar bersama Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada esok.

PN turut tidak ketinggalan dalam menghiasi pentas ceramah mereka dengan nama besar, apabila dijadual ‘menampilkan’ Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam ini di Markas Pas Bakri yang menjadi pusat operasi mereka di Simpang Jeram.

Iklan

Selain itu, menteri-menteri persekutuan juga dilihat turun membantu kempen menerusi pelbagai program yang diatur khususnya di Johor Bahru dan Muar, bertemu pelbagai lapisan masyarakat yang berkaitan dengan portoflio kementerian masing-masing.

Calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, setakat ini, beliau telah menjalankan kempennya meliputi lebih 60 peratus kawasan Parlimen itu, dengan jentera PH-BN pula telah bergerak meliputi 70 kawasan melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling dan DUN Kempas.

Iklan

Dengan momentum kempen yang semakin rancak, beliau berkata gerak kerja dan aktiviti kempen PH-BN akan lebih ‘agresif’, manakala kempen secara bersemuka, ziarah rumah ke rumah dan kawasan tumpuan awam terus dipergiat.

Sementara itu, calon PN Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar, 50, berkata, beliau dan jenteranya hampir selesai menemui komuniti di semua 40 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen itu dan memulakan pusingan kedua lawatan dan ramah mesra bermula semalam.

Bagi calon Bebas untuk Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi, mengakui telah bertemu dengan pengundi di semua kawasan dan kini sudah memasuki pusingan kedua dan ketiga bagi sesetengah kawasan, untuk aktiviti turun padang, terutama Kempas, Perling serta Tampoi.

Di MUAR, Pengarah Pilihan Raya PH PRK Simpang Jeram, Dr Sheikh Ibrahim Salleh berkata, liputan kempen sudah mencapai tahap 60 peratus, dengan sebahagian besar dilakukan secara tradisional iaitu menyantuni pengundi secara bersemuka di warung, medan selera, rumah dan tapak niaga.

Selain itu, Pengurus Operasi Pilihan Raya PN PRK Simpang Jeram, Rosman Kemin pula berkata, pihaknya telah menyantuni lebih 90 peratus masyarakat Melayu, meliputi 54.5 peratus daripada 40,379 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan, selain 60 peratus kempen kepada pengundi Cina.

Calon Bebas Simpang Jeram, S. Jeganathan pula dilihat lebih seleasa memandu sendiri trak pikap yang dipenuhi bendera dan gegantung untuk berkempen secara lebih santai dan tenang, dengan pergi dari rumah ke rumah mengedarkan posternya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Dr Lutfan Jaes berkata, peluang untuk PH dilihat lebih cerah di Parlimen Pulai, berbanding di Simpang Jeram yang situasinya masih samar-samar dengan kedua-dua pihak PH-BN dan PN mempunyai peluang sama rata untuk menang.

"Di Pulai, Parti Amanah khususnya selaku wakil dari blok PH-BN mempunyai simpanan tetap yang agak kukuh, apatah lagi dengan sokongan padu tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan BN sendiri yang merupakan sebuah parti yang mendominasi DUN negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata, berbanding di Simpang Jeram, pengundi BN pada PRN lepas boleh menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya berkenaan, memandangkan keputusan lepas menunjukkan data yang agak rapat, apabila PH memperoleh 8,749 undi, PN (6,350) dan BN (6,062).

Menurutnya, selain itu, Simpang Jeram yang dahulunya dikenali sebagai DUN Sungai Abong sebelum 2018, pernah dipegang PAS selama dua penggal.

Penganalisis politik UTHM, Dr Mohd Akbal Abdullah turut berpendapat peluang PH untuk menang di Pulai adalah cerah disebabkan faktor undi PH dan BN pada PRN lepas yang sekiranya dicampur, boleh mencapai 80 peratus.

Katanya, Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor juga lebih dikenali rakyat kerana arif dalam pentadbiran negeri berbanding Zulkifli.

"Malah isu dibawa dalam kempen PN di Pulai pun isu yang banyak berlegar isu nasional seperti isu perkauman dan agama. Gaya kempen di Pantai Timur dan utara sudah tentu tidak sesuai untuk bangsa Johor kerana negeri ini sudah ada formula sendiri untuk hidup aman dan tenang,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas. - Bernama