KUALA LUMPUR - Temu Anwar, sebuah program dialog anak muda bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim buat julung kali akan diadakan di luar negara pada Selasa depan (5 September) di Jakarta, Indonesia.
Anwar, menerusi catatan di Facebook pada Sabtu mengajak orang ramai untuk hadir ke acara itu yang akan diadakan di Redtop Hotel & Convention Centre, Jakarta mulai jam 7 malam.
"Saya amat berharap dapat bertemu dengan seramai mungkin sahabat dari Indonesia, selain mahasiswa dan rakyat Malaysia di Indonesia,” menurut catatan itu.
Temu Anwar diadakan dalam rangka lawatan Perdana Menteri ke negara itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang akan berlangsung di Jakarta dari 5 hingga 7 September.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web temuanwar.com.
Temu Anwar diadakan khusus bagi memberi ruang kepada setiap lapisan masyarakat terutama anak muda untuk mengutarakan soalan secara langsung. - Bernama