KUALA TERENGGANU - Program latihan bertaraf antarabangsa melibatkan pertukaran guru Korea-Malaysia Teacher Exchange Programme (KOMTEP) 2023 diyakini mampu melahirkan lebih ramai guru berkualiti.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, program dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Republik Korea (MOE Korea) itu melibatkan seramai 10 guru yang akan ditempatkan di empat sekolah rendah dan satu sekolah menengah di Terengganu.
Menurutnya, KOMTEP 2023 yang bermula pada 1 September akan berakhir pada 18 November melibatkan dua sub-program iaitu program inbound dan outbound.
"Program inbound melibatkan penerimaan 10 guru Korea melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, SK Padang Hiliran, SK Kompleks Gong Badak, SK Seberang Takir dan Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu.
"Program outbound pula melibatkan 10 guru Malaysia yang akan ditempatkan di sekolah tuan rumah di wilayah Gwangju, Gyeongnam, Jeju dan Daejeon di Korea.
"Kita yakin program bertaraf antarabangsa ini mampu melahirkan guru berkualiti dalam mendidik anak bangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Shafruddin sebelum itu menghadiri sesi ramah mesra bersama guru-guru Korea di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di sini.
Dalam perkembangan sama, Shafruddin berkata, KOMTEP yang akan dilaksanakan oleh peserta guru Malaysia dan Korea di sekolah tuan rumah masing-masing merancang pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) mengikut kurikulum dengan kolaborasi bersama-sama guru pembimbing.
"Mereka juga memperkenalkan sistem pendidikan dan kebudayaan negara masing-masing kepada murid dan guru di sekolah tuan rumah sebagai pengisian kefahaman antara budaya dan mengemukakan hasil tugasan termasuk laporan akhir kepada pihak penganjur.
"Alumni guru KOMTEP telah membawa balik amalan terbaik dan inovasi dalam PdP dapat ditimba dan dikongsi bersama-sama murid, guru, sekolah dan komuniti pendidikan di Republik Korea dan Malaysia dalam aktiviti susulan selepas ini," katanya.
KOMTEP merupakan program tahunan yang bermula pada 2014 dan setakat ini seramai 83 orang guru Malaysia dan 80 orang guru Korea telah mendapat faedah secara langsung sepanjang siri pengajaran sehingga 2022.
Empat matlamat utama KOMTEP adalah mempelajari sistem pendidikan; mendalami kefahaman kebudayaan; membangunkan kompetensi komunikasi antara-budaya dalam pengajaran dan memperkukuh jaringan dan jalinan dalam bidang pendidikan antara Malaysia dan Korea.