SHAH ALAM - Seramai 120 kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Raja Tun Uda menjadikan 10 ayat terawal surah al-Kahf sebagai bacaan rutin setiap pagi bermula sejak awal tahun ini.
Pengarah PPAS Raja Tun Uda Shah Alam, Mastura Muhamad berkata, bacaan yang mengambil masa hanya 15 minit bermula pada jam 8.45 hingga 9 pagi sepanjang hari bekerja menjadi amalan wajib dalam kalangan kakitangan PPAS Perpustakaan Raja Tun Uda.
Menurutnya, kakitangan PPAS Raja Tun Uda akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan terdiri daripada lapan hingga 10 orang dan setiap daripada mereka akan membaca surah al-Kahf secara bersambung sehinggalah cukup 10 ayat.
"Ada juga kakitangan yang membuka YouTube dan memperdengarkan bacaannya. Sekarang alunan bacaan 10 ayat terawal surah al-Kahf berkumandang di seluruh PPAS Perpustakaan Raja Tun Uda,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Mastura memberitahu, beliau menjadikan amalan membaca surah al-Kahf setiap hari secara konsisten sebagai perkara wajib yang dilakukan sejak beberapa tahun lepas kerana ia seolah-olah memberikan kemerdekaan jiwa kepada dirinya.
"Sejak membaca dan memahami surah al-Kahf terutamanya 10 ayat terawal dan terakhir secara konsisten setiap hari, ia seolah-olah menjadi pemudah cara dalam setiap urusan yang dilakukan.
"Bidang tugas saya memerlukan untuk berjumpa dengan individu yang berpangkat besar dan kadangkala banyak urusan yang dilakukan memberikan sedikit kegusaran di hati ini, namun sejak mempraktikkan surah al-Kahf ia menjadikan segala-galanya mudah,” kongsinya.
Menurutnya, setelah merasai sendiri kehebatan surah al-Kahf, beliau mula menyarankan kakitangan PPAS Raja Tun Uda untuk turut mengamalkannya.
Dalam pada itu, beliau turut berbesar hati apabila diberitahu oleh pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bahawa surah al-Kahf dipilih sebagai tema World #QuranHour untuk tahun ini.
Program World #QuranHour anjuran WUIF bakal menghimpunkan umat Islam sedunia membaca al-Quran secara serentak selama satu jam pada 30 Mei depan bersamaan 25 Ramadan 1440H.
Di peringkat kebangsaan, lokasi perdana World #QuranHour ialah di Masjid Sultan Alam Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak, Selangor.
Tema tahun ini adalah membawa misi surah al-Kahf yang mengandungi 110 ayat.