KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Tiga individu maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 50.1 Lebuhraya Senai Desaru menghala Bandar Penawar di sini pada Sabtu.
Mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian dikenali sebagai Iqbal Faiz Mat Sah, 20, Nurul Afrahrina Sazali, 19 dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan I, Izwani Abd Hamid berkata, laporan awal kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Bezza, Volkswagen dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova diterima pada jam 1.43 petang.
Menurutnya, enam anggota dari BBP Bandar Penawar dan sembilan anggota dari BBP Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.
"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang yang tersepit menggunakan peralatan khas.
"Tiga mangsa di dalam kereta Perodua Bezza orang telah disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa berusia 19 tahun cedera ringan.
"Selain itu, empat mangsa berusia 11 hingga 51 tahun dalam Toyota Innova mengalami cedera ringan, manakala pemandu Volkswagen berusia 50 tahun, dilaporkan selamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, mangsa yang cedera dihantar ke hospital dan operasi ditamatkan pada jam 3.50 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika sabit kesalahan penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun disertai dengan denda RM20,000 jika sabit kesalahan.