NTB Mall kini dibuka di Malaysia

Iklan
Wakil Gabenor NTB, Dr Sitti Rohmi Djalillah (tiga dari kiri) ketika majlis pelancaran pembukaan NTB Mall pada Jumaat.

KEDAI Nusa Tenggara Barat (NTB Mall) dari Indonesia yang pertama kini dibuka di Malaysia bertempat di Strand Mall, Kota Damansara, dengan memasarkan produk asli dari peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) wilayah berkenaan seperti tenunan dan mutiara.

Wakil Gabenor NTB, Dr Sitti Rohmi Djalillah atau lebih dikenali sebagai Ummi Rohmi berkata, pembukaan NTB Mall di Malaysia merupakan usaha pemerintah wilayah itu untuk memajukan IKS dari NTB dengan memperkenalkan pelbagai produk.

Iklan
Iklan

"NTB Mall adalah hajat kami dalam menaik taraf produk tempatan IKS yang tidak hanya di NTB atau Indonesia, tetapi juga dikenali di seluruh dunia.

"Kesemua produk di NTB Mall adalah dihasilkan sendiri daripada peniaga IKS yang berpotensi dipasarkan ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Iklan

"Mudah-mudahan dengan adanya NTB Mall ini akan merapatkan hubungan NTB dengan Malaysia, apatah lagi perjalanan dari Lombok ke Malaysia sudah ada penerbangan terus sebanyak dua kali sehari, maka ia akan semakin mudah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Encorp Bhd, Hazurin Harun menzahirkan rasa kagum terhadap komitmen pemerintah wilayah NTB, Dr H Zulkieflimansyah dan Ummi Rohmi yang mempromosikan produk NTB di luar Indonesia.

Iklan

Menurutnya, pemerintah wilayah tersebut bijak memanfaatkan peluang dan pantas dalam membuat keputusan membuka cawangan sulung NTB Mall di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Indah Purwanti memaklumkan, majlis pelancaran kedai tersebut melibatkan 150 IKS dengan pelbagai produk terkenal seperti tenunan, kraftangan dan makanan tempatan.

"Ini adalah langkah kami untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi produk tempatan NTB, apatah lagi cita rasa kita sama-sama Melayu. Insya-ALLAH, pada masa hadapan akan lebih bagus lagi,” ujarnya.