'Abang nak pergi makan angin di tempat jauh’

Iklan
Zaini yang tidak dapat menahan tangisan mengenangkan gurauan Allahyarham Mohamad Aidil Anand.Laporan Sinar Harian.

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pemilik restoran nasi kerabu, Lieniey Nasi Kerabu Tumis cawangan Pengkalan Chepa di sini sempat bergurau dengan ibunya bahawa dia mahu pergi makan angin di tempat yang jauh sebelum lelaki itu maut dalam kemalangan di Jalan Tok Guru, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Mangsa, Mohamad Aidil Anand Rosli, 33, meninggal dunia selepas tersepit dalam kereta jenis Honda Jazz yang dipandu terbabas dalam kejadian jam 5.49 pagi.

Iklan
Iklan

Ibunya, Zaini Ahmad, 53, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu sememangnya seorang yang sangat suka bergurau.

Zaini menunjukkan gambar Mohamad Aidil Anand.

Menurutnya, Mohamad Aidil Anand membahasakan dirinya sebagai ‘abang’ dalam kalangan keluarga dan merupakan seorang anak baik serta pemurah dengan adik-beradik.

Iklan

"Saya masih ingat dia bergurau dengan saya pada Khamis, katanya, ‘1 September ini, abang nak pergi makan angin ke tempat yang jauh’. Saya tanya balik dia nak pergi ke mana sebab musim cuti ini akan ada ramai pelanggan dan tak boleh tutup kedai.

"Tetapi katanya dia hanya bergurau sambil mencuit dagu dan mengurut belakang saya. Tak sangka pula, itu gurauan terakhir dan petanda dia akan ‘pergi’ buat selama-lamanya,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di rumah mereka di Cherang di sini pada Sabtu.

Iklan

Zaini berkata, menjadi rutin harian Mohamad Aidil Anand pergi ke kedai cawangan utama mereka di Kampung Paya Bemban di sini setiap awal pagi bagi menghantar ulam nasi kerabu untuk dimesin dan mengambil enam kilogram nasi dagang serta bihun goreng yang siap dimasak.

Katanya, bekalan makanan itu akan dibawa ke kedai Mohamad Aidil Anand sendiri di cawangan yang diusahakan di Pengkalan Chepa untuk dijual bersama isterinya, Nur Fatihah Yusuff, 30.

"Pagi Jumaat itu, saya berasa tidak sedap hati apabila Mohamad Aidil Anand yang sepatutnya sudah berada di kedai di Paya Bemban tidak muncul hingga saya menelefonnya beberapa kali tetapi (tidak) berjawab.

"Saya kemudian menelefon Nur Fatihah dan memberitahu Mohamad Aidil Anand sudah 15 minit bergerak pada jam 5.45 pagi dari kedai mereka di Pengkalan Chepa,” katanya.

Zaini berkata, Nur Fatihah juga memberitahunya ada kenderaan polis dan ambulans melintasi kedai mereka sebelum meminta menantunya pergi memeriksa keadaan.

Tambahnya, Nur Fatihah menghubunginya semula dan memberitahu Mohamad Aidil Anand terlibat kemalangan.

"Ketika itu, Mohamad Aidil Anand tersepit di tempat duduk pemandu, namun kopiah yang dipakai kekal berada di kepalanya.

"Ada pelanggan beritahu saya, sehari sebelum kejadian itu juga, dia bersedekah dengan memberi makan percuma kepada pelanggan yang datang ke kedai makannya di Pengkalan Chepa.

"Sebelum ini pun, memang dia kalau berniaga selalu potong harga makanan yang dikira kepada pelanggan. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dalam keadaan dia meninggal dunia pada hari yang baik iaitu pada Jumaat,” katanya.

Sebelum itu, jenazah Mohamad Aidil Anand selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherang selepas selesai bedah siasat pada jam 2.30 petang Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia dua hingga 10 tahun.