MALAYSIA mengesahkan tiket ke Piala Dunia Hoki 5’s Lelaki 2024 selepas berada dalam kelompok empat pasukan terbaik pada Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 di Salalah Oman hari ini.
Ini sekali gus menyaksikan Malaysia, India dan Pakistan menempah slot ke Kejohanan Piala Dunia Hoki 5s Lelaki sebagai wakil Asia, manakala Oman turut menyertai mereka menerusi tiket selaku tuan rumah pada perlawanan yang akan berlangsung pada 24 hingga 31 Januari depan di Muscat, Oman.
Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga menerusi kategori elit lelaki dengan mengumpul 10 mata manakala ranking pertama dan kedua masing-masing menjadi milik Pakistan (13 mata) dan India (12 mata).
Walaupun berjaya menempah tiket ke pentas berprestij itu, skuad negara terpaksa akur apabila dibenam India 10-4 pada aksi separuh akhir Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 di Salalah Oman, petang ini waktu Malaysia.
India bermula garang apabila menjaringkan gol pembukaan menerusi Maninder Singh pada minit kedua sebelum Ismail Abu kembali mengimbangi perlawanan dengan jaringan penyamaan dua minit kemudian.
Skuad negara terus menggandakan kedudukan menerusi jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esok pada minit ketujuh sebelum diikat dengan kelebihan"challenge” pasukan lawan yang disudahi dengan jaringan Mohammed Raheel.
India terus mengekalkan penguasaan apabila Pawan Rajbhar meledak gol padang pada minit ke-13.
Bersambung babak kedua, India terus berada dalam kelas tersendiri apabila Mohammed Raheel menjaringkan gol kedua peribadinya seminit selepas perlawanan bermula, namun Malaysia bangkit membalas dengan dua gol berturut-turut pada minit ke-19 menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esok dan Muhamad Nazrey Din.
Bagaimanapun, semuanya serba tidak menjadi buat anak buah Wallace Tan apabila membenarkan India menjaringkan enam gol pada sembilan minit terakhir perlawanan bermula gol Sukhvinder pada minit ke-21 diikuti Dipsan Tirkey (22), Jugraj Singh (23), Mohammed Raheel (24 & 28) dan gol pelengkap kemenangan India pada minit ke-29 oleh Gurjot Singh.
Malaysia akan beraksi pada penentuan tempat ketiga dan keempat bertemu tuan rumah, Oman pada jam 9 malam ini. - Bernama