MUAR - Pesanan ibu tak kirim lauk dan hantaran gambar pada aplikasi WhatsApp kini hanya tinggal kenangan bagi Abdurrahman Amir Ruddin, 19.
Anak sulung kepada pasangan Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, yang terkorban bersama empat lagi anak mereka dalam insiden kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat petang semalam, mengakui pada mulanya beliau menganggap berita yang disampaikan oleh seorang saudaranya sebagai satu gurauan.
"Kami dari rumah di Ladang Tereh, Kluang dan keluar bersama kerana ayah nak hantar emak ke Segamat tetapi saya singgah untuk solat di rumah kawan dan bila tengok mesej tersebut, saya ingatkan gurauan, tapi rupanya benar-benar jadi.
"Lepas tu saya cuba telefon tapi hanya deringan," katanya yang menahan sebak.
Bercerita lanjut, ibunya sempat meninggalkan pesanan melalui WhatsApp memberitahu tidak sempat masak nasi Arab yang sering dimasak ayahnya setiap hari Jumaat.
"Ibu cakap tak kirim lauk dan suruh saya makan lauk sambal semalam kerana tak masak nasi Arab sebab mesyuarat ayah ditangguh. Saya balas kata baik bos.
"Lepas itu dalam pukul 3.30 petang mereka hantar gambar dan berkata kami pergi dulu. Jadi memang betul mereka pergi dulu.
"Takdir Allah, saya kehilangan ahli keluarga sekali gus. Tidak terlintas di fikiran saya akan jadi anak yatim piatu sekelip mata," kata Abdur Rahman Amir Ruddin, 19.
katanya yang menjelaskan sebelum ini mereka tidak pernah menghantar gambar jika pulang ke Segamat.
Terdahulu, jenazah keenam-enam beranak yang maut dalam insiden kemalangan tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa di sini. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: 'Arwah minta bergambar ramai-ramai, buat kenangan jika pergi dahulu'
Nahas 5 kenderaan: 6 sekeluarga disahkan maut
Lima sekeluarga maut, tiga cedera nahas tiga kenderaan
Enam beranak maut: Ahli keluarga adakan tahlil di bilik mayat hospital