'Mat Salleh' ambil kesempatan menjaja di Banda Hilir

Iklan
Gambar yang dimuat naik pengguna Facebook mengenai sekumpulan pelancong asing didapati menjaja barangan kraftangan di siar kaki Jonker Street di Banda Hilir, di sini, semalam.

MELAKA - Sekumpulan dipercayai pelancong asing didapati menjalankan aktiviti perniagaan tanpa permit di siar kaki Jonker Street di Banda Hilir, di sini, semalam.

Mereka dikatakan datang ke negara ini sebagai pengembara beg galas duduk di siar kaki berhadapan sebuah premis kafe terkenal dan menjual hasil kraf tangan.

Iklan
Iklan

Kumpulan yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai terpaksa menjalankan aktiviti perniagaan akibat masalah kewangan atau mengambil kesempatan atas sikap pemurah orang awam, termasuk penduduk dan pelancong tempatan di negeri ini.

Keadaan tersebut telah mengundang rasa kurang senang masyarakat tempatan yang mendakwa aktiviti itu sebagai mengganggu pemandangan kawasan tumpuan ramai berkenaan.

Iklan

Seorang pengguna laman Facebook dengan nama Michael Quay antara individu yang memuat naik status berhubung aktiviti kumpulan ini yang berniaga secara haram di siar kaki Jonker Street berhadapan sebuah kafe terkenal.

Beberapa keping gambar dan video berdurasi 56 saat turut dikongsi dalam status itu sehingga tular sejak semalam.

Iklan

Video berkenaan memaparkan perbualan dengan seorang pemandu teksi yang mendakwa pelancong terbabit bertindak agresif apabila ditegur agar berpakaian sopan ketika Ramadan, selain ada dikatakan mengugut membuang telefon pintarnya ke sungai jika terus merakam.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin ketika dihubungi memaklumkan anggota penguatkuasa sudahkan mengarahkan semua pelancong asing terbabit menghentikan aktiviti dan beredar dari lokasi berkenaan.

Menurut Mansor, pihaknya difahamkan, kumpulan terbabit datang ke Malaysia menggunakan visa pelancong, namun telah menyalahi undang-undang negara ini apabila didapati menjalankan perniagaan.

"Kita minta mereka beredar dengan cara berhemah dan kumpulan ini memberikan kerjasama.

"Tindakan akan diambil jika mereka masih berdegil termasuk mengeluarkan notis, kompaun atau boleh menyita barang mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Tambah Mansor lagi, MBMB memang menempatkan sekurang-kurang dua anggota penguatkuasa untuk kawalan statik di sekitar kawasan itu.

Namun jelasnya, MBMB akan sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Imigresen bagi melakukan operasi bersepadu serta memantau kes ini secara berkala.