SUBANG JAYA - Tindakan seorang remaja yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal membawa padah apabila ditahan dalam Operasi Khas Motosikal yang dijalankan di Taman Puchong Perdana di sini pada Sabtu.
Remaja berumur lingkungan 16 tahun itu turut memberikan alasan mahu pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari lokasi ditahan.
Seolah tidak mahu mengakui kesilapan, remaja terbabit turut mendakwa ramai penunggang di sekitar kawasan tersebut tidak memakai topi keledar.
Bagaimanapun pemeriksaan dijalankan turut mendapati dia tidak memiliki lesen memandu.
Remaja terbabit antara 30 penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Selangor sekitar jam 5 petang itu.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi dijalankan rentetan hasil risikan dan aduan yang diterima pihaknya.
"Risikan yang dijalankan di sekitar Taman Puchong Perdana sebelum ini mendapati terdapat kekerapan dari segi pelanggaran peraturan jalan raya terutamanya melibatkan pemakaian topi keledar.
"Aspek keselamatan terutamanya topi keledar amat penting kerana ia melibatkan nyawa pengguna dan pembonceng motosikal," katanya kepada media ketika di lokasi operasi di sini pada Sabtu.
Katanya, ketidakpatuhan peraturan jalan raya seharusnya tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa memandangkan ia sememangnya perlu dipatuhi.
"Sikap tidak acuh terutamanya pemakaian topi keledar boleh merisikokan nyawa sekiranya berlakunya kemalangan.
"Atas faktor itu, pihak JPJ mengadakan operasi ini sekaligus bagi memastikan peraturan jalan raya yang ditetapkan ini dipatuhi oleh semua pengguna," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menumpukan untuk membanteras kegiatan mat rempit selain ekzos bising di seluruh negara.
"Setakat ini, beberapa lokasi 'panas' dengan kegiatan sebegini telah dikenal pasti dan usaha akan dijalankan JPJ untuk menggempurnya.
"Kegiatan rempit bukan sahaja melibatkan risiko nyawa malah ia turut menimbulkan kacau ganggu kepada masyarakat, jadi perlunya tindakan drastik untuk membanteras kegiatan ini," katanya.