SHAH ALAM - Pengunjung Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang membeli buku RM100 ke atas berpeluang menyertai cabutan bertuah dan memenangi hadiah menarik bernilai sehingga RM1,500.
Pegawai Pemasaran Digital Grup Buku Karangkraf, Muhamad Khair Mohamad Sabilan berkata, antara hadiah yang ditawarkan seperti jam tangan pintar jenama Huawei, beg Christy Ng, Nike dan Adidas termasuk botol Montigo serta barangan sukan Decathlon.
"Pengunjung hanya menunjukkan resit di kaunter, isi borang dan masukkan ke dalam kotak. Lebih jumlah pembelian, semakin tinggi peluang memenangi hadiah menarik berkenaan.
"Jualan gudang kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mana kami menggandakan lebih banyak hadiah berjenama. Penyertaan dibuka pada 31 Ogos lalu hingga 10 September ini.
"Pengumuman pemenang akan dibuat hari terakhir selepas selesai jualan gudang atau keesokan melalui live di media sosial Sinar Harian,” katanya ketika ditemui di Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.
Tambah Muhamad Khair, setiap pemenang akan dihubungi selepas pengumuman bagi makluman penuntutan hadiah.
"Jadi, jangan lepaskan peluang bagi merebut hadiah tersebut.
"Selain itu, 100 pengunjung terawal juga diberikan hadiah percuma barangan kosmetik dan roti daripada penaja, Wardah dan Gardenia,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selain harga promosi, potongan istimewa bagi buku baharu juga diberikan iaitu sehingga 25 peratus terutama yang menjadi ahli VIP Karangkraf.
"Keahlian hanya perlu dibayar RM10 untuk seumur hidup dan pengunjung boleh mendaftar di kaunter yang disediakan di jualan gudang.
"Sementara itu jangan risau, potongan harga bagi bukan ahli juga ada iaitu 15 hingga 20 peratus,” katanya.
Orang ramai terutama yang berada di sekitar Shah Alam dijemput untuk datang memberi sokongan dan memeriahkan lagi jualan gudang tersebut.