Pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara tepat - Azalina

Iklan
Azalina - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Pelantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September ini, disifatkan sebagai tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini adalah kerana kedudukan Ahmad Terrirudin yang merupakan Peguam Cara Negara adalah nombor dua selepas Peguam Negara.

Iklan
Iklan

"Beliau merupakan seorang yang profesional dan saya yakin pelantikan ini adalah tepat. Ini kerana kita melihat ini sebagai pelantikan dalaman daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memang terdiri daripada peguam-peguam pakar, yang mewakili kepentingan negara dalam sektor perundangan," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan wakil-wakil Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri Kempas di Taman Dahlia, di sini, malam tadi.

Azalina juga berharap pelantikan itu akan membawa kepada kesinambungan kerja-kerja yang dilaksanakan Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan AGC secara menyeluruh.

Iklan

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian ketika mengulas pengumuman pelantikan Ahmad Terrirudin.

Ahmad Terrirudin, 55, yang merupakan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022 menggantikan Idrus yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.

Iklan

Mengulas mengenai dakwaan Pemuda UMNO tentang kebocoran dokumen memo dalaman AGC, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat.

"Kalau dia (Pemuda UMNO) nak buat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biarlah agensi yang bertanggungjawab siasat,” kata beliau lagi.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dipetik sebagai berkata, meminta agar Ahmad Terrirudin mengesahkan sama ada berlaku atau tidak kebocoran dokumen memo dalaman AGC seperti yang tular di media sosial.

Dr Muhamad Akmal juga berkata, jika kebocoran berlaku, pihaknya akan membuat satu laporan kepada SPRM dalam masa terdekat, selepas menggerakkan seluruh ahlinya untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sebelum ini, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 Oktober 2019 tersebar dalam talian, yang didakwa sebagai memo dalaman daripada pasukan pendakwaan bagi kes Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) yang ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Dokumen itu didakwa tertulis pengesyoran enam daripada pertuduhan rasuah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah digugurkan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kerusi panas Peguam Negara

Tugas Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara bukan mudah

Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara