PEMAIN tengah Belanda, Georginio Wijnaldum menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Ettifaq dari juara Ligue 1 Perancis Paris Saint- Germain (PSG), kata berpusat di Dammam, Arab Saudi tersebut.
Kedua-dua kelab itu tidak mendedahkan bayaran perpindahan untuk pemain berusia 32 tahun itu yang menyertai bekas rakan sepasukan Liverpool, Jordan Henderson di kem Steven Gerrard.
Pengumuman itu dibuat selepas Al-Ettifaq menewaskan Damac 3-1 untuk naik ke tangga kelima dengan 10 mata, tiga di belakang pendahulu Al-Hilal dan Al-Taawoun.
Wijnaldum berpindah ke PSG pada 2021 tetapi selepas itu bergelut untuk memberi impak bersama kelab berpusat di Paris tersebut, dia kemudiannya menyertai kelab Serie A Itali, AS Roma secara pinjaman.
Bagaimanapun dia patah kaki dalam latihan pada Ogos 2022, yang mengehadkannya kepada 23 perlawanan bersama jagoan Itali itu dalam semua pertandingan.
Wijnaldum kemudian kembali ke Paris bagi meneruskan semula kariernya bersama Les Parisian tersebut.
Bagaimanapun di bawah pengurus baharu PSG, Luis Enrique, masa depan Wijnaldum seolah-olah samar di Perancis
Lantaran itu, Gerrard yang juga bekas kapten Liverpool memujuk pemain kelahiran Rotterdam tersebut untuk menyertai cabaran bersama Al-Ettifaq.