JOHOR BAHRU - Kenyataan pimpinan UMNO kononnya DAP yang kini bersama Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah berubah, hanya indah khabar daripada rupa.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, agenda negara sekular dan slogan 'Malaysian Malaysia' tidak digugurkan DAP, biarpun gesaan telah dibuat oleh UMNO Bahagian Pulai.
"Apabila Ketua UMNO bahagian Pulai (Datuk Nur Jazlan Mohamed) membuat kenyataan bahawa DAP perlu keluarkan negara sekular dan perlu keluarkan Malaysian Malaysia, dia (DAP) cakap, dia tak nak keluarkan.
"UMNO tak ada kuasa dan sekarang pemimpin UMNO sembang sahaja,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kempas di sini pada Sabtu malam.
Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan calon PN bagi PRK Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.
Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan 'Malaysian Malaysia' seperti didesak sesetengah pihak.
Menurut beliau, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk sebelum ini.
Malah katanya, Ahmad Zahid turut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan DAP berhubung perlembagaan parti.
Sementara itu, Radzi menambah, DAP yang selama ini sering memberi gambaran parti mereka sahaja yang bersih, kini dilihat tidak berintegriti apabila menerima Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Sekiranya benar DAP berintegriti, parti itu akan melawan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), penyelewengan serta pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid. Sudah tentu DAP tidak akan duduk bersama Ahmad Zahid.
"DAP ini parti 'sembang' seolah-olah mereka sahaja yang bersih. Tetapi hari ini UMNO mendukung DAP dan pemimpin UMNO kata, DAP telah berubah banyak,” katanya.
Justeru, beliau yang juga Ketua Penyelaras Pilihan Raya PN Parlimen Pulai berkata, kemenangan PN pada PRK kali ini akan menghantar isyarat kepada kerajaan, sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos lalu.
"Pengundi Parlimen Pulai perlu gunakan peluang pada hari mengundi 9 September nanti untuk pastikan pada PRK kali ini, kita dapat hantar isyarat jelas kepada kerajaan PH-BN.
"Isyarat tersebut penting untuk menunjukkan kepada mereka (kerajaan) agar mereka faham rakyat tolak mereka dan inginkan yang jauh lebih baik," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
[VIDEO] DAP perlu berubah jika mahu sokongan Melayu - Nur Jazlan
Tiada keperluan DAP gugurkan slogan 'Malaysian Malaysia' - Anthony Loke