Polis terima 4 laporan dakwaan terserempak harimau belang

Iklan
Perhilitan sudah memasang beberapa kamera untuk mengenal pasti kedudukan harimau belang itu. - Gambar hiasan

HULU SELANGOR - Polis menerima empat laporan berhubung kejadian seekor harimau belang berkeliaran di sekitar Batang Kali, Goh Tong Jaya, Serendah dan Kuala Kubu Bharu di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengambil tindakan awal bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin.

Iklan
Iklan

"Perhilitan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seekor harimau yang sedang berkeliaran dengan memasang beberapa kamera untuk mengenal pasti kedudukan haiwan liar itu.

"Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan berhati-hati ketika menjalankan aktiviti berkebun, mendaki bukit, memasuki hutan dan sebagainya.

Iklan

"Orang ramai turut dinasihatkan supaya bertenang dan tidak gusar berhubung kejadian ini. Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641132," katanya.

Pada 27 Ogos lalu, media melaporkan (Perhilitan) Selangor memasang kamera perangkap bagi mengesan harimau belang yang didakwa berada di Kilometer 18 Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini.

Iklan

Ia susulan seorang anggota polis bantuan berusia 56 tahun membuat laporan yang mendakwa melihat haiwan liar itu jam 5.30 pagi, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.