GOPENG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menetapkan pembelian bersyarat ke atas barangan kawalan seperti minyak masak peket dan gula.
Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terutama bagi mereka yang melakukan kesalahan sama berulang kali.
Jelasnya, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda antara RM1 juta hingga RM5 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.
"Tindakan ini bukan setakat peruncit tetapi di semua peringkat seperti pemborong dan sebagainya. Ini merupakan satu kesalahan yang serius.
"Saya menyarankan semua yang menjadi mangsa sama ada peringkat peruncit atau pemborong harus ke depan kerana kita tidak ada toleransi kalau sekiranya dia datang daripada peringat lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi dan Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.
Sementara itu, Fuziah berkata, KPDN telah menghasilkan kes mengenai pembelian bersyarat ke atas barangan kawalan iaitu gula dan minyak masak.
Sejak awal tahun 2023, sebanyak 71 aduan pembelian bersyarat diterima di seluruh negara dengan 17 kes telah diambil tindakan manakala enam masih dalam siastan.
Dalam pada itu, beliau berharap pengguna dapat memanfaatkan saluran aduan kepenggunaan yang disediakan pihak kementerian dalam usaha membanteras salah laku peniaga atau perkara menyalahi undang-undang di bawah kawalan kementerian.