JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan sehari ke negeri ini dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, pada pagi Ahad.
Menerusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan berkenaan berlangsung kira-kira satu jam di Istana Pasir Pelangi, dengan ketibaan Perdana Menteri pada jam 11.20 pagi.
Berangkat sama ke pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Selepas pertemuan itu, Anwar mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan diiringi Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustapha dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau seterusnya dijadualkan menghadiri program Temu Anwar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pada sebelah malam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan menyertai Ceramah Mega Perpaduan Madani bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Jelajah Madani Parlimen Pulai.