Misi kembara solo jelajah lapan negeri berjaya

Iklan
(Gambar kiri) Halim bergambar di hadapan pusara perajurit yang terkorban dalam peristiwa serangan di Bukit Kepong, Johor. (Gambar kanan) Halim membetulkan bendera pada skuternya.

KOTA BHARU - Misi pembantu perawatan kesihatan, Halim Hamid, 47, menjelajah lapan negeri dalam kembara solo dengan menunggang skuter miliknya tercapai apabila dia selamat tiba di sini pada Sabtu.

Halim bersyukur kerana perjalanan sejauh 2,900 kilometer (km) bersama skuter dihiasi jalur gemilang itu tidak mengalami sebarang masalah besar malah misi tahun kesembilan itu mendapat sokongan ramai.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Sarjan Sukarelawan Simpanan Polis itu mengakui hujan lebat antara cabaran yang terpaksa dihadapi di beberapa lokasi termasuk Taiping dan Ipoh di Perak; Seremban, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Halim meneruskan perjalanan untuk pulang ke Kelantan pada Ahad.

"Ada masanya saya terpaksa meneruskan perjalanan bagi memastikan jadual perjalanan yang dirancang tidak tergendala.

Iklan

"Alhamdulillah saya mengambil masa 10 hari untuk merentasi lapan negeri dan pulang dengan selamat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam pada itu katanya, motosikal berusia 17 tahun miliknya itu juga pernah beberapa kali mengalami kerosakan yang menyebabkan perjalanan tidak dapat diteruskan.

Iklan

Jelas Halim, sebelum perjalanan, dia sudah menghabiskan kira-kira RM1,000 untuk membaiki kerosakan motosikal jenis Modenas Elegant 150 miliknya itu.

Sepanjang perjalanan katanya, ramai yang membantu malah ada rakan menyediakan penginapan yang membolehkan dia berehat dengan cukup sebelum meneruskan perjalanan.

Antara pengisian dalam jelajah tersebut ialah menziarahi pusara parajurit di Bukit Kepong.

Halim memberitahu, perjalanan pulang ke Kelantan diteruskan selepas bertolak pada jam 9 pagi Sabtu dari Kamunting, Perak.

"Saya tiba di pekarangan Masjid Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan kira-kira jam 6.30 petang disambut rakan-rakan bagi bersama meraikan kejayaan itu," katanya.