Penduduk Felda Perasu bimbang kehadiran gajah rosakkan tanaman

Iklan
Gambar hiasan

GUA MUSANG - Penduduk Felda Perasu kini gusar dengan kemunculan seekor gajah liar yang didakwa menghampiri kawasan kebun dan penempatan mereka serta merosakkan tanaman sejak Khamis lepas.

Seorang penduduk, Sukri Solanuddin, 36, berkata, dalam kejadian terbaharu, seekor gajah liar yang bergading telah memakan pokok pisang dan kelapa yang ditanam di tepi rumahnya.

Iklan
Iklan

"Saya dapat lihat sendiri kelibat gajah itu yang merosakkan tanaman kelapa dan pisang kira-kira dua meter dari kawasan rumah pada 1 pagi setelah terdengar bunyi zink dipijak dengan kuat oleh haiwan itu," katanya kepada pemberita di felda berkenaan.

Menurut Sukri, dia sekeluarga terpaksa bersembunyi kira-kira 20 minit di dalam rumah kerana ketakutan sebelum mendapatkan bantuan jiran.

Iklan

"Keesokan pagi, saya dapati kesan tapak kaki, najis serta beberapa pokok dimusnahkan gajah terbabit. Saya sangat bimbang dengan keselamatan keluarga jika gajah tersebut kembali dan memasuki kawasan rumah," katanya yang memiliki empat anak berusia antara lima hingga 15 tahun.

Mat Yunus Majid, 67, pula, berkata, isu konflik antara manusia dan gajah di tanah rancangan tersebut telah berlarutan sejak tiga tahun lepas sehingga mengakibatkan banyak kerugian terpaksa ditanggung oleh penduduk.

Iklan

"Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak lebih agresif dan datang membantu bagi menghalau haiwan liar berkenaan supaya keselamatan penduduk terjamin," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi pada Ahad berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan kejadian terbaharu itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan. - Bernama