KONSEP sukan mesra syariah akan dijadikan garis panduan sepanjang kejohanan sukan tempur Terengganu Fight Festival (T-Fight) 2023 yang akan diadakan selama dua hari bermula 29 hingga 30 September ini di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abd Karim berkata, program anjuran Persatuan Muay Thai Terengganu diadakan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Muay Thai Malaysia.
Menurutnya, Jabatan Mufti Negeri Terengganu akan memantau sepanjang berlangsungnya kejohanan itu bagi memastikan ia berlangsung mengikut peraturan ditetapkan bertepatan dengan konsep dan polisi kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri sedia meraikan kehadiran peserta-peserta dari dalam dan luar negara yang akan menyertai acara ini dengan memberi fokus terhadap aktiviti sukan berlandaskan garis panduan ditetapkan.
"Kita juga akan menambah baik apa yang perlu untuk menjadikan acara berprestij ini sebagai acara tahunan di negeri ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Pemasaran TFight, Mohd Khairul Hafiz Hassan dan Setiausaha TFight, Ahmad Syahmi Jusoh.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Hafiz berkata, acara itu bakal menampilkan barisan atlet ternama antaranya Ali Yaakub, Mat Ropi Singamuda dan pemenang dua kali ONE Championship yang sedang meningkat naik, Aliff Rakib sebagai tarikan utama.
"Terengganu dipilih sebagai lokasi untuk sukan 'muscle art' terbesar tahun ini dimana beberapa kategori lain turut diadakan bersama sukan utama iaitu sukan muay thai dan kickboxing.
"Semua kategori yang dipertandingkan akan mematuhi ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, katanya, sukan tempur (gelanggang) yang akan disertai seramai 200 peserta dalam pelbagai kategori itu dijangka mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records dengan melakukan persembahan seni mempertahankan diri selama 16 jam tanpa henti.
"Pelbagai acara dan persembahan menarik yang akan ditampilkan sepanjang festival ini berlangsung," ujarnya.