25 OKU penglihatan tawan Bukit Kerinchi

Iklan
Salah seorang malim gunung (kanan) membantu peserta OKU mendaki Bukit Kerinchi. - FOTO :MOHD HALIM ABDUL WAHID (Gambar kecil: Aby)

KUALA LUMPUR - Sekumpulan orang kurang upaya (OKU) penglihatan membuktikan mereka mampu melakukan aktiviti pendakian yang sinonim dengan mereka yang normal.

Menerusi program #HikeSomethingNice anjuran Zubedy (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dan Malim Gunung Perhutanan Selangor (MGPS) yang berlangsung di Taman Rimba Bukit Kerinchi pada Ahad, seramai 25 OKU penglihatan berjaya menawan bukit setinggi 233 meter itu.

Iklan
Iklan

Salah seorang peserta, Rosnah Ahmad, 63, berkata, meskipun pergerakannya agak terbatas dan perlu dibantu namun minatnya terhadap sukan lasak seperti itu tidak pernah luntur.

Peserta OKU dibantu untuk mendaki Bukit Kerinchi. - FOTO :MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Saya pernah daki Bukit Bendera dan beberapa bukit lain sekitar Pahang yang lebih mencabar dan hari ini saya dan rakan dapat membuktikan bahawa usia dan status OKU bukan penghalang untuk mengharungi aktiviti berkenaan," katanya yang berasal dari Alor Setar.

Iklan

Rosnah yang juga pengerusi SBM berkata, selain mendaki dia juga pernah mencuba aktiviti flying fox namun ternyata ianya tidak boleh disamakan dengan kepuasan mendaki bukit atau gunung,.

"Dah lama tak ikut aktiviti lasak, sesekali dapat luang waktu begini memang seronok,” ujarnya.

Iklan

Bagi eksekutif syarikat insurans, Mohd Shahir Ramli, 33, program berkenaan membolehkan kumpulan OKU bertukar pengalaman antara satu sama lain.

"Meskipun pendakian hanya lebih satu kilometer, namun bagi yang kali pertama terlibat, peserta belajar untuk mendengar arahan secara ‘one to one’ dari malim gunung masing-masing,” jelasnya.

Seorang lagi peserta K Murugan, 29, berkata, aktiviti itu mengimbau kembali kenangan sewaktu kecil tinggal di ladang bersama keluarganya di Johor.

"Hidup di kawasan ladang mencabar, jadi aktiviti lasak seperti ini sebenarnya memberi peluang untuk kita belajar mengharungi bahaya terutama hutan yang penuh dengan akar pokok, berbatu dan curam dengan dibantu oleh sukarelawan,” katanya yang bekerja sebagai tukang urut.

Para peserta program #HikeSomethingNice bergambar kenangan di Taman Rimba Bukit Kerinchi pada Ahad. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Sementara itu wakil MGPS, Muhammad Fiqri Omar berkata, pengalaman pertama kali membantu OKU penglihatan melaksanakan aktiviti riadah amat menakjubkan.

"Mereka mendengar setiap butir arahan yang diberikan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku dan kerjasama yang diberikan oleh peserta amat baik,” ujarnya.

Pengurus Besar Zubedy (M) Sdn Bhd, Aby Mahmood berkata, kesinambungan kempen #SaySomethingNice yang bermula 31 Ogos hingga 16 september ini dapat memupuk semangat perpaduan dan menyatukan masyarakat dengan golongan istimewa.

Aby berkata, selain SBM dan MGPS, program yang disertai seramai 50 orang itu turut mendapat kerjasama daripada Vida, Tedboy, St John Ambulans dan Raska Adventure.