Anwar perlu jawab segera isu INSAN Selangor - Hamzah

Iklan
Hamzah - Foto Bernama

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberikan jawapan segera berhubung isu dakwaan kebocoran data peribadi membabitkan pelaksanaan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Anwar selaku Menteri Kewangan perlu menjawab isu berkenaan kerana didakwa terdapat pelanggaran tata kelola di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 iaitu kesalahan mendaftarkan konsumer secara haram dalam sesuatu perkhidmatan kewangan tanpa pengetahuan dan kebenaran penama adalah jenayah.

Iklan
Iklan

"Apakah pelanggaran tata kelola ini boleh didiamkan begitu saja? Lebih melampau lagi jika ada polisi insurans dikeluarkan ke atas penama yang telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.

Hamzah berkata, sudah lebih sebulan isu berkenaan didedahkan, namun sehingga kini Menteri Kewangan yang dikatakan jaguh tata kelola membisu.

Iklan

"Pelik juga Menteri Kewangan yang kebolehannya beretorik dan bercakap tiba-tiba diam seribu bahasa, sedangkan jelas terdapat pelanggaran tata kelola dalam skandal INSAN ini.

"Menteri Kewangan perlu buktikan bahawa beliau benar-benar penentang projek runding terus seperti yang disebut berulang kali.

Iklan

"INSAN ini asalnya dicadang supaya dikendalikan SELGATE iaitu syarikat GLC Selangor kerana faktor pelesenan, kewangan dan kepakaran tetapi diketepikan. Mengapa pula sebuah syarikat swasta yang latar belakangnya meragukan dipilih tanpa tender terbuka,” katanya.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) juga mahu Anwar menjawab isu berkenaan jika benar beliau pejuang rakyat sepertimana didendangkan penyokong Pakatan Harapan (PH).

"Apakah benar berlaku jenayah di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di mana data peribadi rakyat yang diperoleh daripada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) oleh Kerajaan Selangor bagi tujuan pilihan raya diserahkan kepada syarikat untuk tujuan komersial tanpa kebenaran dan pengetahuan pemilik data?” katanya.

Tambah beliau, rakyat tidak mahu data peribadi mereka disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Teroponglah sama gajah di depan mata ini kerana sudah banyak suara di luar sana mendakwa berlaku proses sakau. Ini dakwaan berat yang mesti dibuktikan sebaliknya oleh beliau,” katanya.

Jelas Hamzah, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis telah dibuat dan pihaknya percaya semua maklumat ini sudah sampai ke meja Menteri Kewangan.

"Kalau Menteri Kewangan lembab dalam skandal ini, saya masih boleh faham sebab memang beliau 'political animal' tetapi agensi kerajaan bukan institusi politik.

"Sebagai contoh SPRM dengan rekod yang hebat terutama penyiasatan dan tuduhan ke atas pemimpin PN, tiada sebab untuk tidak menyiasat. Rakyat sedang memerhati!” tegasnya

INSAN yang diperkenalkan kerajaan negeri pada tahun lalu kini hangat diperkatakan selepas beberapa individu mendakwa nama mereka didaftarkan tanpa pengetahuan mereka.

Terdapat juga dakwaan berlaku kebocoran data peribadi apabila ada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia didaftarkan sebagai penerima skim berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, data yang mengandungi nama, alamat dan nombor kad pengenalan tersebut adalah data awam yang boleh dibeli daripada SPR bagi tujuan prapendaftaran INSAN.

Menurut beliau, setiap nama dalam skim itu perlu mengesahkan nombor kad pengenalan dan swafoto gambar penama sebagai tanda memberi kebenaran pendaftaran tersebut.

Penjelasan Amirudin bagaimanapun menimbulkan tanda tanya baharu kerana proses prapendaftaran automatik tidak sepatutnya berlaku untuk produk kewangan yang tertakluk akta tertentu.

Lebih meragukan kerana dokumen insurans berkenaan mempunyai tarikh luput serta tertulis ‘polisi diaktifkan’ dan bukannya ‘prapendaftaran’. Timbul juga persoalan mengenai kemungkinan terdapat pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkelompok untuk enam juta penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Program INSAN: Dakwaan salah guna data, polis terima 8 laporan

Operasi laman sesawang INSAN digantung

'Boleh saman kes program INSAN' - Peguam

Nafi guna data pengguna tanpa kebenaran untuk program INSAN - MB Selangor