KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa media tidak akan dilayan secara kuku besi oleh kerajaan.
Beliau berkata kerajaan berpegang teguh dengan prinsip untuk mempertahankan hak dan kebebasan media dalam membuat pelaporan namun tetap menegaskan ia tidak akan berkompromi terhadap laporan fitnah dan tidak tepat.
Sebagai contoh, katanya baru-baru ini ketika Pilihan Raya Negeri (PRN), ada laporan berita yang telah diterbitkan sebuah media tersohor menyatakan kononnya ada seorang ahli politik telah ditahan oleh pihak polis tetapi setelah disemak, terbukti perkara itu palsu.
"Jaminan saya, kita (kerajaan) tidak akan bersifat kuku besi. Itu jaminan yang diberikan kepada rakan-rakan media,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Komuniti Pantai Eco Park pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Reporters Without Borders (RSF) supaya kerajaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghentikan amalan menyekat laman sesawang portal-portal berita yang dikatakan tidak prokerajaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, keadaan dan kebebasan media di bawah kerajaan sedia ada jauh lebih baik berbanding pentadbiran dahulu kerana sepanjang beliau menjadi menteri, belum ada seorang wartawan yang ditahan oleh pihak polis serta tidak ada syarikat akhbar ditutup.
Malah untuk kebaikan media, Fahmi juga berkata kerajaan berusaha untuk menggubal segera Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia yang diharapkan dapat menjadi plaftorm untuk membincang isu melibatkan etika pelaporan, disiplin dan kebajikan.
Ditanya mengenai sambutan rakyat terhadap Pakej 5G Rahmah, Fahmi berkata beliau belum menerima maklumat terperinci daripada MCMC dan syarikat telekomunikasi (telco) terlibat namun berdasarkan maklum balas di akar umbi, rakyat menunjukkan minat yang tinggi.
"Saya difahamkan minggu ini ada lebih kurang 47,000 set telefon bimbit (jenama Samsung dan Honor) akan tiba di Malaysia untuk diagihkan ke semua pusat pengagihan telco masing-masing dan pihak telco juga memaklumkan bahawa ia mencukupi namun akan memantaunya demi memastikan peranti itu terus mencukupi,” katanya.
Pakej 5G Rahmah membolehkan orang ramai mendapatkan akses perkhidmatan 5G berserta telefon pintar berharga tidak melebihi RM240.
Pakej itu juga hadir bersama pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60 gigabit (GB) serta tertakluk kepada kontrak langganan selama 24 bulan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
SKMM harus berhenti daripada bertindak sebagai 'Big Brother' - Wartawan Kanan
Kerajaan Perpaduan tidak bersikap kuku besi - Fahmi