JOHOR BAHRU - Kerajaan Perpaduan tidak akan memungkiri janji-janji untuk membantu rakyat termasuk dalam soal menyediakan kemudahan perumahan bagi rakyat yang tidak berkemampuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerajaan yang progresif dan produktif dalam menyantuni semua permasalahan yang dihadapi rakyat.
Justeru, katanya, permasalahan rakyat sentiasa dibawa ke peringkat tertinggi untuk dibincangkan dan mencari penyelesaiannya.
"Kerajaan Perpaduan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar... setiap janji yang beliau lafazkan dan perkara (masalah) yang dibawa kepada saya, pastinya akan dibawa (dibincang) supaya diluluskan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis lawatan kerja beliau ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, Taman Perling, dekat sini pada Ahad.
Selain itu, beliau berkata, dalam aspek perumahan PPR, penyediaan kemudahan asas yang berkualiti perlu diberi perhatian dan bagi tujuan itu Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan sentiasa bekerjasama melaksanakan inisatif terbaik untuk rakyat.
"Kita mahu rakyat menikmati (bantuan) secara adil kerana kita lihat rumah sewa kerajaan yang harga sebulan bawah RM200 pun masih ada yang tidak dapat membayar... ini perlu diberi perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan sekiranya calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu depan, beliau sendiri akan memantau prestasi serta isu-isu termasuk soal perumahan yang akan dibawa pada sidang Parlimen.
"Jika dia (Suhaizan) dipilih ke Parlimen, saya bukan hanya pantau ucapan-ucapannya tetapi juga tindakan-tindakan susulan terdapat isu yang dibawanya.
"Justeru rakyat di Pulai harus memilih calon PH untuk memastikan pembangunan di Pulai dapat dilaksanakan,” katanya. - Bernama