Darren tekad buru jaringan sebanyak mungkin di Chengdu

Iklan
Darren Lok
PENYERANG Harimau Malaya, Darren Lok bertekad mencipta jaringan sebanyak mungkin untuk membantu skuadnya menyaingi China dan Syria pada dua perlawanan persahabatan Tier 1 di Chengdu, China, pada Rabu dan Sabtu depan.

Pemain kacukan Malaysia-Britain itu optimis sentuhan jurulatihnya, Kim Pan Gon yang agresif membantunya dan pasukan mencetak banyak gol menentang China dan Syria kelak.

"Tetapi seperti yang saya katakan, sudah tentu sebagai penyerang kita beri tumpuan terhadap gol. Saya ingin menjaringkan seberapa banyak gol yang mungkin buat Malaysia, pada masa sama membantu mereka (rakan sepasukan) di bahagian lain," katanya kepada pemberita pada hari terakhir sesi latihan Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, penyerang berusia 31 tahun itu berkata perlawanan menentang China dan Syria yang berada di ranking lebih tinggi bakal memberi pengalaman bermakna kepadanya kerana kedua-dua negara itu mempunyai kualiti permainan yang tinggi.

Katanya, tidak mustahil bagi pasukan Malaysia menewaskan China dan Syria yang masing-masing menghuni ranking ke-80 dan 94 dunia, melihat kepada pengalaman mereka menewaskan pasukan ranking lebih tinggi ketika Kelayakan Piala Asia tahun lepas.

"Dalam kelayakan Piala Asia, kita dapat bersaing dengan pasukan pada tahap ini. Jadi, saya rasa Malaysia sekarang kembali ke tahap itu dan kita boleh mula bersaing dengan negara-negara ini.

"Jadi, saya rasa semua orang teruja termasuk peminat bola sepak, untuk melihat apa yang akan berlaku ketika menentang China dan Syria nanti. Sebagai pemain, kami juga teruja dan bersedia memberikan yang terbaik," katanya.

Skuad negara akan berlepas ke Chengdu pada Isnin. - Bernama

TAG: bola sepak,