TAWAU - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terharu dan teruja baginda dengan sambutan yang cukup hebat penduduk di sini sebaik berangkat tiba di Tawau petang Ahad.
Seri Paduka Baginda bertitah baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda cukup terharu kerana dapat sampai di Sabah, Negeri di Bawah Bayu.
"Saya dan isteri (Tunku Azizah) begitu semangat dengan apa yang ditunjukkan orang Tawau dan Sabah. Saya terharu sambutan hari pertama sebegini, esok dan lusa mesti lagi hebat. Saya cukup teruja, isteri dan anak-anak menghitung hari ke sini," titah baginda pada Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Rakyat Tawau di Dewan Masyarakat Tawau malam ini.
Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah melancarkan Kembara Kenali Borneo iaitu program pengembaraan sejauh lebih 2,149 kilometer selama 11 hari dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar seluruh penduduk Sabah dan Sarawak bersemangat menyambut Hari Malaysia.
"Selepas sambutan kemerdekaan dengan semangat ditunjukkan di Semenanjung begitu hebat, saya nak tengok orang Sabah dan Sarawak bersemangat sambut Hari Malaysia," titah baginda.
Selain itu, baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bersusah payah merealisasikan Kembara Kenali Borneo.
Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan menyanyikan lagu bertajuk 'Butakah Cinta' yang dipopularkan oleh Ameng daripada Kumpulan Spring.
Sebelum itu, pada jam 1.50 tengah hari Seri Paduka Baginda berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Tawau di sini dari Kuala Lumpur, sebelum Al-Sultan Abdullah memandu sendiri kenderaan untuk bertemu dengan rakyat yang menyambut pasangan diraja itu.
Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak pada program yang bermula pada Ahad hingga 13 September.
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dijadual melakukan pelepasan kembara itu pagi Isnin di 0 KM Padang Majlis Bandaran Tawau. - Bernama