SHAH ALAM - Kitab suci al-Quran dan amalan Rasulullah SAW menjadi inspirasi kepada penulis buku ilmiah, Abd Razak Muthalib untuk menghasilkan sebuah naskhah yang bertajuk Doa dan Zikir.
Menurutnya, tujuan utama buku itu diterbitkan kerana mahu menambah rujukan sedia ada untuk para pembaca khususnya berkaitan panduan berdoa dan zikir dalam kehidupan seharian bermula bangun daripada tidur.
"Dalam buku ini saya ada berkongsi tentang doa-doa secara khusus contohnya berkaitan solat, puasa, haji, umrah, perkahwinan, sakit dan kematian.
"Kesemua doa yang saya kongsikan itu berpandukan kepada al-Quran dan doa-doa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada masa sama, ujarnya, ibu bapa yang membeli buku berkenaan boleh menjadikan ia sebagai panduan dalam menarik minat anak-anak untuk berdoa dalam setiap aktiviti harian yang dilakukan.
"Saya tidak mahu anak-anak rasa terbeban untuk mengamalkan kesemua doa itu.
"Lebih baik kalau kita sebagai ibu bapa mengajak mereka (anak-anak) mengikut situasi semasa, contohnya ketika hujan dan dalam buku itu ada doa mengenainya,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penulis buku bertajuk Healing The Invisible Wound, Dr Alizi Alias turut menggunakan al-Quran sebagai panduan.
Beliau yang merupakan ahli psikologi berkata, buku tersebut membawa konsep bahawa wahyu dan sains boleh berintegrasi dalam mewujudkan satu sistem kesihatan mental yang menyeluruh.
Alizi turut menjelaskan bahawa penggunaan perkataan ‘healing’ membawa maksud merawat dan ia tidak sepatutnya digunakan oleh mereka yang sihat.
Jelasnya, perkataan itu lebih sesuai digunakan oleh mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental kerana golongan tersebut benar-benar memerlukan rawatan yang tepat iaitu melalui kaedah perawatan secara saintifik dan rohani.