JOHOR BAHRU - Tindakan Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan 'fatwa politik' mengharamkan undi kepada calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai disifatkan sebagai keterlaluan.
Calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, penggunaan hukum Islam, iaitu hukum haram ke atas pihak lawan dibimbangi akan menjadi permainan politik.
"Saya tiada masalah jika tidak sokong saya, tetapi jika gunakan hukum ALLAH untuk menghukum haram, pada saya itu keterlaluan.
"Jika orang politik boleh menggunakan hukum Islam, hukum haram ini kepada seteru politik, saya khuatir ia akan jadi permainan kepada orang lain. Ini amat merbahaya," katanya pada program Ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, di sini pada Ahad malam.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah); Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Muhyiddin ketika berucap pada ceramah sempena PRK Parlimen Pulai mengeluarkan 'fatwa haram' mengundi Suhaizan, selain melarang pengundi di kawasan itu mengundi Suhaizan.
Dalam pada itu, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) berterima kasih atas peruntukkan RM500 juta kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"HSA itu dalam Parlimen Pulai, banyak lagi yang kita hendak minta tetapi dengan syarat berilah sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Malaysia Madani," ujarnya.
Sebelum itu, Anwar mengumumkan meluluskan peruntukan RM500 juta bagi pembinaan blok baharu dan parkir bertingkat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
ARTIKEL BERKAITAN: 'Fatwa' haram undi calon PH, Muhyiddin perlu taubat - Tok Mat
Undi calon PH haram: Zahid bidas 'fatwa' politik Muhyiddin
'Kamu siapa haramkan pengundi undi Suhaizan' - Anwar
Fatwa politik haram beri undi kepada saya tak wajar - Suhaizan
Tindakan hasut rakyat: Kerajaan Perpaduan tak akan bertolak ansur
Berkawan dengan Pas, Muhyiddin keluar fatwa haram - Mohamad Sabu