KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi di sini pada jam 8.58 pagi Isnin bagi menghadiri perbicaraan kes 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.
Puluhan penyokong mula membanjiri lobi mahkamah sejak jam 7 pagi bagi mengikuti prosiding berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri yang hadir di mahkamah dengan memakai kot hitam, tiba di mahkamah dengan ditemani keluarga dan penyokong, antaranya anak perempuan, Nurul Hidayah dan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada AGC sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala yang terbaru, dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dibicarakan dengan 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.