PEMAIN sayap Manchester United, Jadon Sancho mendakwa telah dijadikan kambing hitam secara tidak adil.
Ia selepas pengendali, Erik ten Hag mendakwa dia diketepikan daripada skuad untuk menentang Arsenal pada Ahad kerana prestasi latihan yang lemah.
Ketiadaan Sancho ketika kekalahan dramatik United 1-3 pada masa kecederaan Liga Perdana Inggeris kepada Arsenal ternyata mengejutkan menyaksikan kedudukan The Red Devils merosot ketangga 11.
"Mengenai prestasinya semasa latihan, kami tidak memilihnya....
"Anda perlu mencapai tahap setiap hari di Manchester United. Anda boleh membuat pilihan di barisan hadapan, jadi dalam perlawanan ini, dia tidak terpilih," kata Ten Hag ketika ditanya mengenai ketiadaan Sancho dalam skuad kunjungan ke Stadium Emirates itu.
Sancho yang berusia 23 tahun kemudiannya membalas dalam catatan di media sosialnya menulis"Tolong jangan percaya semua yang anda baca!
"Saya tidak akan membenarkan orang bercakap perkara yang tidak benar sama sekali. Saya telah menjalankan latihan dengan baik minggu ini.
"Saya percaya ada sebab lain untuk perkara ini yang saya tidak akan ambil tahu. Saya sudah lama menjadi kambing hitam, itu tidak adil.
"Apa yang saya mahu lakukan ialah bermain bola sepak dengan senyuman di wajah saya dan menyumbang kepada pasukan saya."
Sancho, yang telah bermain 58 perlawanan liga sejak menyertai United pada 2021, berkata, dia menghormati semua keputusan yang dibuat oleh kakitangan kejurulatihan.
"Saya bermain dengan pemain yang hebat dan bersyukur untuk berbuat demikian. Yang saya tahu setiap minggu adalah satu cabaran.
"Saya akan terus berjuang untuk lencana ini walau apa pun!," tulis Sancho.