KYLIAN Mbappe menjaringkan dua gol bagi membantu Paris St Germain (PSG) menang 4-1 di tempat lawan ke atas Lyon sekali gus mencatat kemenangan kedua dalam musim baharu Ligue 1.
Mbappe menyempurnakan sepakan penalti pada minit keempat dan menjaringkan gol keempat sejurus sebelum rehat separuh masa bagi membolehkan PSG mengumpul lapan mata daripada empat perlawanan dan berada di tempat kedua, dua mata di belakang pendahulu Monaco.
Iklan
Iklan
Tendangan penalti itu diberikan selepas Manuel Ugarte dikasari oleh kapten Lyon, Corentin Tolisso dan disusuli gol kedua pada minit ke-20 daripada Achraf Hakimi selepas permainan satu dua dengan Ousmane Dembele.
Marco Asensio menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-38 sebelum Mbappe memastikan penguasaan PSG dengan gol keempat.
Tolisso menjaringkan gol saguhati untuk Lyon pada separuh masa kedua menerusi sepakan penalti.
"Ia adalah keputusan yang hebat. Bukan mudah untuk datang dan menang di sini, tidak kira apa yang sedang dilalui lawan.
"Kami belum lagi bermain seperti yang dimahukan jurulatih tetapi kami mencapai kemajuan yang hebat,” kata kapten PSG, Marquinhos.